PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan membantu Muhd. Alif Najmi, seorang pelajar yang dilaporkan menghadapi masalah kewangan dalam persediaan melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah mengarahkan IPGM untuk segera menghubungi pelajar berkenaan dan memberikan bantuan sewajarnya bagi memastikan beliau dapat mendaftar dan memulakan pengajian seperti yang dirancang.
“Saya membaca berita yang disiarkan oleh Kosmo! pagi ini berkenaan masalah kewangan yang dihadapi oleh anakanda Muhd. Alif Najmi dalam persediaan beliau untuk melanjutkan pengajian di IPGM.
“Janji saya begini. Usah gusar, anakanda. Saya telah arahkan pihak IPGM untuk segera menghubungi anakanda dan memberikan bantuan. Insya-Allah, segala persiapan akan kami bantu bagi memastikan anakanda dapat mendaftar dan memulakan pengajian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina turut menitipkan pesan semangat kepada Muhd Alif agar terus berusaha mencapai impiannya dalam dunia pendidikan.
“Apa yang saya harapkan hanyalah supaya anakanda cekal berjuang, belajar bersungguh-sungguh dan bertekad untuk mengubah nasib keluarga.
“Apabila sampai waktunya bergelar guru nanti, curahkan ilmu sepenuh jiwa raga untuk mendidik anak bangsa,” katanya. – UTUSAN










