Malaysia tidak berhasrat anjur perlumbaan F1

Malaysia tidak berhasrat anjur perlumbaan F1

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak merancang untuk menganjurkan semula perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kos yuran hak penganjuran selain penyediaan fasiliti yang tinggi dan kepadatan kalendar di litar itu menjadi faktor sukan termahal di dunia itu tidak dianjurkan di Sepang.

“Penganjuran kejohanan F1 di Malaysia setiap tahun akan memerlukan Kerajaan untuk melabur sekitar RM300 juta setahun untuk membayar yuran hak penganjuran kepada Liberty Media, iaitu pemegang hak komersil F1.

“Secara amnya, Malaysia perlu mengikat kontrak penganjuran sepanjang tiga sehingga lima tahun dengan Liberty Media dan ini akan melibatkan komitmen yuran hak penganjuran kejohanan F1 sekitar RM1.5 bilion untuk tempoh tersebut.

“SIC masih mengekalkan penarafan homologasi litar Gred 1 Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan memerlukan sebanyak RM10 juta setiap tahun untuk memastikan keselamatan litar dan fasiliti sokongan menepati standard penarafan tersebut,” katanya.

Hannah berkata sedemikian selepas menjawab soalan yang diajukan Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew yang sebelum itu bertanyakan sama ada F1 dianjurkan semula di Sepang dan langkah KBS untuk memaksimumkan penggunaan SIC.

Dalam pada itu, Hannah turut berkata, kos yuran hak penganjuran RM300 juta boleh digunakan untuk menampung pelbagai program penting di bawah kendalian KBS.

“Sebagai contoh, melalui peruntukan tersebut kementerian dapat melaksanakan Program Pembangunan 20 jenis sukan yang melibatkan 363 atlet podium serta 9,834 atlet pembangunan bakat dengan kos keseluruhan sebanyak RM124.1 juta setahun.

“Selain itu, peruntukan kos penyediaan litar (kerja naik taraf) sebanyak RM10 juta boleh menampung program Road to Gold (RTG) setahun,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia menjadi negara pertama di rantau Asia Tenggara yang menganjurkan perlumbaan F1 pada 1999 sebelum kali terakhir melakukannya pada 1 September 2017 berikutan peningkatan yuran penganjuran setiap tahun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN