PETALING JAYA: Bukan salah jurulatih sepenuhnya, tetapi ketiadaan pemain berkualiti yang mampu memberi cabaran sebenar menjadikan Malaysia kini kurang menyengat dalam acara perseorangan di pentas antarabangsa.
Bekas pemain badminton perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim berkata, tidak seperti acara beregu, pemain perseorangan kini bergelut dengan prestasi dan rata-rata pemain yang ada pada ketika ini tidak mempunyai daya tahan yang bagus serta tidak konsisten.
“Ada dalam kalangan pemain kita mampu membuat kejutan ke atas pemain pilihan, tetapi, yang menjadi isu ialah daya tahan mereka, kalau hari ini mereka menang, tetapi, di peringkat seterusnya mereka boleh kalah secara tiba-tiba.
“Masalah ini bukan sahaja berlaku di peringkat senior, malah, juga junior, lihat sahaja pada Kejohanan Remaja Asia, baru-baru ini, bagi saya kita tak boleh tuding jari dekat jurulatih semata-mata.
“Kita kena tengok juga kualiti pemain kita, adakah mereka cukup berbakat dan miliki potensi, saya lihat pemain kita ketika ini kurang dari segi kekuatan fizikal kerana bagi saya penting skil dan fizikal digabungkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bekas juara All England 2003 itu diminta mengulas mengenai pencapaian pemain perseorangan yang suram di pentas antarabangsa dan yang terbaru adalah pada Kejohanan Remaja Asia di Solo, Indonesia yang menyaksikan Malaysia pulang dengan tangan kosong.
Hafiz berkata, post-mortem perlu dilaksanakan dan pemain-pemain sedia ada mesti dinilai semula, terutama aktiviti seharian yang dilakukan mereka sewaktu dalam latihan.
Katanya lagi, pemain-pemain di peringkat senior pula seperti Leong Jun Hao dan Justin Hoh, masih tidak memiliki kekuatan fizikal dan daya tahan yang membawa mereka kepada memenangi gelaran.
“Seperti Jun Hao, dia boleh menang pusingan pertama bertemu pemain yang bagus, tetapi bila di pusingan kedua, dia tiba-tiba kalah, bagi saya isu pemain seperti ini lebih kepada daya tahan tubuhnya,” katanya.
Justeru Hafiz turut mempersoalkan intensiti sewaktu latihan pemain-pemain perseorangan, adakah ia sudah mencukupi atau perlu ditambah baik bagi mendapatkan kekuatan fizikal yang maksimum kerana dari situ akan hadir ketahanan mental yang tinggi.
Mengulas keserasian pemain dengan corak latihan, Hafiz berkata, untuk mendapatkan penyesuaian memang memerlukan masa dan mana-mana jurulatih berhak untuk diberi peluang serta masa mencukupi bagi membuktikan kemampuan masing-masing.-UTUSAN