PETALING JAYA: Lebih 90 peratus daripada 2,200 peserta acara The Magnificent Baling 100 (TMB100) 2025 berjaya menamatkan larian denai yang diadakan pada 15 dan 16 Ogos lalu.
Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn Bhd, Mohd Bukhari Ismail berkata, pencapaian peserta kali ini melepasi jangkaan awal penganjur bagi empat kategori dipertandingkan iaitu 10 kilometer (km), 25km, 50km dan 100km.
Katanya, ini sekaligus membuktikan peserta benar-benar bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum menyertai acara tersebut.
“Kita sedaya upaya mahu memastikan peserta untuk setiap kategori dapat menghabiskan larian dalam masa yang ditetapkan lebih-lebih lagi bagi mereka yang dating dari jauh kerana ia merupakan satu pencapaian untuk mencabar mental dan fizikal peserta. Apatah lagi selepas berhempas pulas berlatih.
“Tambahan pula, laluan berlumpur, licin dan suhu sejuk sepatutnya menambah cabaran. Justeru, larian ini membuktikan peserta cukup bersedia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Mohd. Bukhari berkata, edisi ketiga TMB100 kali ini juga terus mengukuhkan Baling sebagai destinasi eko-pelancongan menerusi kerjasama Kedah Tourism dan Majlis Daerah Baling serta agensi tempatan termasuk Polis Diraja malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM), hospital daerah dan pelajar Kolej Komuniti Baling yang membantu urusan sajian.
Pelari Sabah, Wilsen Singgin menjuarai kategori 100km Lelaki dengan masa 10 jam 35 minit 35 saat, manakala kategori wanita milik peserta Filipina, Ritzy Amor Ectin (15:33:57).
Kategori lain pula dimenangi pelari antarabangsa dan tempatan antaranya Yeonggyun Cho (Korea Selatan, 50km Lelaki), Mei Sze Chong (Malaysia, 50KM Wanita), Khairulamirin Kamarudin (25km Lelaki), Masliana Mustafa (25km Wanita), Mohd Shahril Md Jusoh (10km Lelaki) dan Fatin Bensulong (10km Wanita).
Penganjur turut merancang memperkenalkan jarak baharu 75km dan 160km (100 batu) pada edisi 2026 selepas melihat peningkatan lebih 100 peratus penyertaan kali ini. – UTUSAN










