PUTRAJAYA: Sekumpulan mahasiswa bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk memenuhi enam tuntutan berkaitan keselamatan murid dan pelajar dalam kadar segera menerusi satu memorandum yang diserahkan hari ini.
Kira-kira 20 peserta himpunan diketuai Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) mula berkumpul di hadapan bangunan Kementerian Pendidikan (KPM) sejak pukul 10.30 pagi tadi.
Menurut Presiden Gamis, Azamuddin Sahar berkata, tujuan mereka berhimpun pada hari ini adalah untuk menyerahkan memorandum itu secara terus kepada Fadhlina rentetan daripada kes kematian membabitkan seorang pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir.
Wakil pelajar itu turut mendakwa Fadhlina sebagai Menteri Pendidikan gagal mencari penyelesaian secara menyeluruh membabitkan kes buli yang berlaku di sekolah.
“Kami baru sahaja serahkan tuntutan kami kepada wakil Pejabat Menteri. Pegawai itu memaklumkan mereka akan memberi respon segera tapi tidak menyatakan berapa hari dan sebagainya.
“Tapi bagi Gamis sendiri, kami menuntut supaya Menteri memberikan respon dalam masa 24 jam. Tuntutan kami jelas mengenai enam perkara yang dinyatakan. Sekiranya enam perkara itu tidak dilaksanakan maka saya rasa beliau memang layak turun daripada KPM,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan bangunan KPM di sini hari ini.
Menerusi memorandum bertajuk tuntutan rasmi 30 hari Gamis dan Haram kepada KPM, kumpulan berkenaan menyenaraikan sebanyak enam tuntutan iaitu supaya diwujudkan sistem sokongan psikososial di sekolah, latihan wajib guru dan warden asrama tentang ‘trauma-informed education dan modul pendidikan ibu bapa: Buli Bermula di Rumah.
Selain itu, mereka turut menuntut tengang pemantauan bebas dan telus di sekolah selain pengumuman roadmap awal mengenai Pelan Nasional Anti-Buli dengan sasaran, garis masa, indikator kejayaan dan laporan berkala setiap tiga bulan.
Kumpulan itu juga menuntut peningkatan tahap keselamatan di sekolah melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penubuhan unit khas siasatan buli di setiap sekolah yang melibatkan PIBG, guru dan pihak polis, reformasi kurikulum melalui pengukuhan pendidikan sivik, moral dan empati, dan prosedur operasi standar pengendalian kes buli yang jelas.
Terdahulu, memorandum itu diserahkan oleh Azamuddin dan Presiden Haram, Brandon Gan kepada wakil pejabat Menteri Pendidikan, Ahmad Faiz Abdull Rashid.
Sementara itu, Brendon berkata, sekiranya tiada respon selepas tempoh tersebut, mereka berkenaan tidak teragak-agak untuk memobilisasi kumpulan lebih besar bersama mahasiswa dan rakyat Malaysia untuk turun melakukan protes di lokasi awam seperti Dataran Merdeka atau kawasan lain yang lebih terbuka kepada rakyat. – UTUSAN