Kerajaan sokong usaha terjemahan al-Quran kepada 30 lagi bahasa asing

Kerajaan sokong usaha terjemahan al-Quran kepada 30 lagi bahasa asing

ANWAR Ibrahim ketika gimik melepaskan kontena untuk penghantaran Quran ke Perancis pada majlis pelancaran edisi terjemahan ke-30 dalam bahasa Rusia di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan komited dan akan memberi sokongan penuh termasuk peruntukan dana bagi menggerakkan usaha menghasilkan al-Quran terjemahan dalam 30 lagi bahasa asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menyokong usaha Yayasan Restu itu menerusi Kompleks Nasyrul Quran, di sini.

“Dia (Yayasan Restu) minta dana tambahan, jadi tentunya untuk ikhtiar ini saya bagi pihak Kerajaan Madani tentunya akan memberikan seluruh hubungan dan kerjasama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Percetakan Al-Quran dan Terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Rusia dan Pelancaran Mushaf Al-Ummah Al-Jami’ di Kompleks Nasyrul Quran, di sini hari ini.

Katanya, ketika ini, Projek 1 Juta Naskhah al-Quran yang diilhamkan pada tahun 2023 telah diterjemahkan dalam 30 bahasa dengan bahasa Rusia yang paling terbaharu.

Anwar berkata, dalam setiap negara yang dikunjungi termasuk Peru, Brazil, Kemboja, Laos, China dan Rusia, beliau sentiasa membawa bersama al-Quran terjemahan itu untuk diagihkan.

“Saya tidak pernah tinggal daripada membawa al-Quran bersama sebelum diagihkan secara langsung kepada kerajaan (pemimpin kerajaan), pusat Islam dan masjid di sana (negara yang dikunjungi),” katanya.

Katanya, dengan pelancaran edisi terjemahan ke-30 dalam bahasa Rusia itu, Yayasan Restu telah mengorak langkah lebih jauh untuk menambah lebih banyak lagi terjemahan bahasa asing pada masa depan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pelancaran Mushaf Ummah al-Jami’ ini juga penting kerana ia hasil gabungan gabungan ilmiah pakar qiraat dari seluruh dunia, yang diselia oleh ulama tersohor, Syeikh Dr. Ahmad ‘Isa Al-Ma’sarawi yang juga Pengasas Yayasan al-Masarawi.

Dengan pelancaran mushaf itu, katanya, Malaysia kini menjadi antara negara terawal di dunia yang menerbitkan mushaf seumpamanya secara rasmi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Anwar berkata, Yayasan Restu juga dijangka akan melancarkan Mushaf Madani sempena menyambut bulan Ramadan tahun depan.

Terdahulu, pada majlis sama, Perdana Menteri turut melakukan gimik penerbitan al-Quran terjemahan bahada Rusia dengan menekan butang mesin pencetakan.

Malah, pada program sama, Anwar turut berkesempatan melepaskan trak kontena mengandungi 30 naskhah al-Quran dan terjemahan untuk dihantar ke luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN