SEREMBAN: Kadar baharu selepas kenaikan tarif air di Negeri Sembilan tidak akan memberikan impak besar kepada pengguna domestik di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, subsidi masih diberikan kepada pengguna domestik iaitu untuk 40 meter padu pertama, di mana 20 meter padu pertama diberi subsidi penuh manakala 20 meter padu seterusnya dikenakan kadar minimum.
“Kita hanya ambil keuntungan sekitar 10 sen sahaja daripada kos rawatan dan pengurusan air. Walaupun tarif dinaikkan, pengguna domestik masih menikmati kadar yang rendah.
“Kos sebenar rawatan air di negeri ini adalah antara RM1.10 hingga RM1.15 setiap meter padu, tetapi pengguna hanya dikenakan sekitar 70 sen, bermakna kerajaan masih menanggung subsidi lebih 40 sen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Tahun 2025 Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Aminuddin menjelaskan, keputusan menaikkan kadar tarif air dibuat secara bersama oleh semua negeri dan diselaraskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan tarif di peringkat negeri. Ia perlu diselaraskan di peringkat nasional bersama semua negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan rakyat negeri ini agar berjimat cermat terutama sewaktu musim kemarau yang melanda/
“Gunakan air secara berhemah, air sepatutnya untuk minum, bukan dibazirkan untuk mencuci rumah atau bilik air.
“Jika kita kurangkan penggunaan, kita juga dapat mengurangkan keperluan pembinaan infrastruktur baharu seperti loji rawatan, empangan dan penggantian paip lama yang menelan kos berbilion ringgit,” tambahnya. – UTUSAN










