Kemenangan di stadium baharu titik kebangkitan Everton

Kemenangan di stadium baharu titik kebangkitan Everton

Pengurus Everton, David Moyes (tengah) memberi reaksi semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Everton dan Brighton di Stadium Hill Dickinson, Liverpool, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Bos Everton, David Moyes menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas Brighton pada aksi pembukaan Stadium Hill Dickinson semalam sebagai asas kepada kebangkitan kelab itu.

Jack Grealish menjadi watak utama dengan mencipta dua bantuan jaringan untuk Iliman Ndiaye dan James Garner yang meledak pada setiap babak.

Aksi Jordan Pickford pula melonjakkan sorakan hampir 52,000 penyokong apabila menafikan sepakan penalti Danny Welbeck.

“Untuk 100 tahun akan datang pasti ramai pengurus silih berganti, tetapi stadium ini kekal dan apa yang perlu dilakukan sekarang ialah membina sebuah pasukan yang kuat.

“Saya tidak pasti ia boleh dilakukan segera, namun kami akan berusaha untuk memajukan kelab ini kerana kemenangan ini adalah langkah besar buat Everton,” kata Moyes.

Everton yang pernah menjuarai sembilan gelaran liga utama kini sudah 30 tahun tidak meraih sebarang piala besar selain berhempas pulas mengelak penyingkiran di Goodison Park.

Grealish yang dipinjam daripada Manchester City membuktikan kehadirannya memberi kelainan di bahagian serangan skuad Toffees.

“Kami mahukan Jack Grealish yang semua orang tahu, dan hari ini dia tunjukkan perbezaan itu,” tambahnya.

Ndiaye turut mencipta sejarah apabila menjaringkan gol pertama di stadium baharu selepas sebelum ini meledak gol terakhir di Goodison Park Mei lalu.

Kekalahan itu menyebabkan Brighton hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan awal musim ini.

“Secara keseluruhan kami mencipta peluang cukup untuk menang tetapi gagal menjaringkan gol, ini yang perlu diperbaiki,” kata jurulatih Brighton, Fabian Hurzeler. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN