Kehadiran pemimpin dunia isyarat yakin kemampuan Malaysia

Kehadiran pemimpin dunia isyarat yakin kemampuan Malaysia

ANWAR Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dewan A MAEPS di sini, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kehadiran pemimpin kuasa besar dunia termasuk China, Rusia dan Amerika Syarikat dijangka hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu memberi isyarat jelas mengenai keyakinan dunia terhadap kemampuan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Sebagaimana disebut sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengesahkan kehadiran dan akan melawat Malaysia bersempena sidang kemuncak itu. 

“Saya percaya pimpinan China dan mungkin Rusia turut hadir,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Menurut beliau, kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei lalu yang diiktiraf sebagai antara sidang paling teratur menjadi asas keyakinan lebih ramai pemimpin dunia akan hadir kali ini.

Anwar berkata, persiapan rapi sedang dilaksanakan melibatkan semua agensi termasuk Kementerian Luar, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi memastikan kelancaran penganjuran.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera kerajaan yang sudah mula bergerak membuat persiapan awal khususnya aspek keselamatan dan peraturan.

Selain Trump, Presiden China, Xi Jinping; Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa turut dijangka hadir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN