BATU PAHAT: Dua beranak yang mengusahakan kedai jahit dan andaman kerugian kira-kira RM50,000 selepas kedai disewa di Pekan Semerah di sini, terbakar malam semalam.
Kebakaran berlaku pada pukul 7 malam melibatkan 19 buah kedai, menyebabkan tujuh mesin jahit serta pakaian ditempah pelanggan mereka musnah dalam kejadian itu.
Menurut Kamariah Hussin, 70, dia dan anak sulungnya, Mardiana Kadimin, 50, mula mengusahakan kedai jahit dan andaman di kedai berkenaan sejak 30 tahun lalu.
Katanya, kira-kira 100 pasang pakaian ditempah sama ada yang sudah siap atau belum, selain pakaian dijual, hangus terbakar dan rosak terendam air.
“Turut rosak adalah pakaian kain songket pengantin serta peralatan pelamin yang tidak sempat diselamatkan kerana api marak terlalu cepat akibat bangunan diperbuat daripada papan.
“Kini kami buntu memikirkan cara untuk mengganti kain dihantar pelanggan termasuk dua buah keluarga yang menempah pakaian sedondon untuk majlis perkahwinan keluarga mereka pada September nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Kamariah berkata, mereka sedang memikirkan cara untuk meneruskan perniagaan sama ada akan dilakukan di rumah atau kedai baharu, jika ada kekosongan.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Makmur Batu Pahat, Datuk Zulkarnain Kamisan berkata, pihaknya menyalurkan bantuan awal sebanyak RM2,000 selain sumbangan daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Batu Pahat bernilai RM500 untuk meringankan beban semua mangsa terlibat.
Katanya, kesemua 19 kedai terlibat melibatkan penyewa di tapak yang terbakar dan mereka mempunyai rumah masing-masing di sekitar Pekan Semerah.
“Kedai ini sudah berusia kira-kira 100 tahun dan kaedah pembangunan di kawasan ini bergantung kepada pemilik tanah sama ada ia akan dibina bangunan baharu atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN










