KOTA BELUD: Seorang bapa nekad meredah api untuk menyelamatkan isteri dan tiga anaknya yang terperangkap dalam kebakaran membabitkan deretan sembilan kedai di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 32 tahun melecur pada muka dan badan ketika membawa keluar ahli keluarganya sebelum api marak dan memusnahkan hampir keseluruhan bangunan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.32 pagi.
“Isterinya berusia 32 tahun dan empat anak mereka masing-masing berusia 11, lapan dan lima tahun serta seorang bayi lelaki berusia sebulan, dilaporkan selamat dalam kejadian itu, manakala lelaki itu dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut.
“Tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai,” katanya di sini hari ini.
Menurut Elge, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan deretan kedai jenis separuh kekal satu blok sembilan pintu dengan keluasan kira-kira 557 meter persegi dan terbakar 95 peratus.
Katanya, operasi berjaya dikawal pada jam 7.13 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi selepas pemeriksaan keselamatan selesai dijalankan bagi memastikan tiada lagi bahaya dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN







