KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang merangka kriteria khas bagi mempertimbangkan kelulusan permit masuk kepada pasangan bukan warganegara yang berpisah dengan pasangan warganegara tetapi mempunyai anak berstatus warganegara Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bagi memastikan institusi kekeluargaan terus terpelihara sekali gus mengelakkan ibu atau bapa bukan warganegara daripada terpisah dengan anak mereka yang merupakan warganegara.
Katanya, sebarang permohonan permit masuk dan pengeluaran kad pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) perlu mematuhi peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 serta Akta Imigresen 1959/63.
“Pasangan bukan warganegara yang berkahwin dengan warganegara Malaysia layak memohon Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang Pasangan sebelum memohon permit masuk daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan taraf Penduduk Tetap (PR) daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Namun, sekiranya perkahwinan berakhir akibat perceraian atau kematian pasangan, pas tersebut tidak lagi diberi dan kelayakan memohon permit masuk melalui saluran pasangan warganegara juga terbatal,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai sama ada laluan khas dipertimbangkan bagi ibu atau bapa bukan warganegara yang tidak sempat memohon PR semasa perkahwinan tetapi mempunyai anak berstatus warganegara Malaysia.
Saifuddin berkata, tiga langkah telah dilaksanakan bagi mengurangkan kesukaran mendapatkan permit masuk untuk pasangan bukan warganegara yang mempunyai anak warganegara.
Katanya, KDN bersama JIM telah menyelesaikan 19,205 permohonan permit masuk tertunggak sejak 2013 hingga 2023 termasuk 14,918 permohonan daripada kategori isteri dan 4,287 daripada kategori suami kepada warganegara.
“Isteri kepada warganegara boleh memohon setelah mendaftarkan perkahwinan sekurang-kurangnya tiga tahun serta memiliki pas pasangan setahun manakala suami kepada warganegara boleh memohon selepas lima tahun perkahwinan dan lima tahun pas pasangan.
“JIM juga menyediakan prosedur operasi standard baharu bagi permohonan permit masuk dengan tempoh pertimbangan dan keputusan tidak melebihi enam bulan berkuat kuasa 1 September 2025,” katanya. – UTUSAN