ALGERIA: Juara Olimpik, Imane Khelif menafikan dakwaan bekas pengurusnya yang mengatakan dia akan berehat buat sementara daripada sukan tersebut.
Petinju Algeria itu menjadi tumpuan berhubung isu jantina di Sukan Olimpik Paris tahun lalu yang menyaksikannya memenangi pingat emas dalam kategori wanita 66 kilogram (kg).
“Saya ingin menjelaskan kepada orang ramai bahawa laporan mengenai persaraan saya daripada sukan tinju adalah tidak benar,” tulis Khelif di media sosial Facebook miliknya.
Atlet berusia 26 tahun itu turut menuduh bekas pengurusnya, Nasser Yesfah telah mengkhianati kepercayaannya dan negaranya menerusi kenyataan palsu dan berniat jahat.
“Individu ini tidak lagi mewakili saya dalam apa jua bentuk.
“Saya tidak pernah mengumumkan persaraan daripada sukan tinju. Saya masih komited dengan kerjaya sukan ini, saya menjalani latihan secara berkala dan mengekalkan kecergasan fizikal saya antara Algeria dan Qatar sebagai persediaan untuk acara-acara yang akan datang,” katanya lagi.
Terdahulu, akhbar Perancis, Nice Matin sebelum ini memetik kenyataan bekas pengurusnya yang mendakwa dia telah menggantung sarung tinjunya tanpa menjelaskan sama ada ia untuk selama-lamanya atau tidak. – AFP