KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan kejayaan bersejarah Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di Kejohanan Badminton Dunia sebagai lahir daripada ‘keringat dan air mata’.
Dalam satu hantaran di Instagram, beliau menegaskan kemenangan pasangan No.4 dunia itu bukan sekadar membawa pulang gelaran, malah menghidupkan kembali semangat rakyat terhadap sukan badminton negara.
“Impian kita akhirnya jadi kenyataan. #ChenToh bukan sekadar menang, tapi mereka ukir sejarah dengan keringat dan air mata. Malaysia tak pernah putus asa. Juara Dunia. Badminton Malaysia kembali mengaum di pentas dunia!” tulisnya.
Lebih manis, kejayaan Tang Jie-Ee Wei hadir sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 selepas menumbangkan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 dalam aksi final penuh bergaya.
Pencapaian itu turut menjadikan mereka beregu kedua negara bergelar juara dunia selepas gandingan lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakukan kejayaan sama pada edisi 2022.
“Terima kasih Tang Jie dan Ee Wei kerana memberi kami harapan, keyakinan dan inspirasi untuk terus percaya bahawa Malaysia mampu menguasai dunia,” kata Tengku Zafrul. – UTUSAN