CINCINNATI: Jannik Sinner dan Aryna Sabalenka mulakan kempen mempertahankan gelaran kejuaraan dengan langkah kanan apabila kedua-duanya mara ke pusingan ketiga Terbuka Cincinnati, hari ini.
Pilihan utama lelaki dan wanita, yang masing-masing menduduki ranking No. 1 dunia, beraksi buat kali pertama sejak kejohanan Wimbledon di mana Sinner muncul juara manakala Sabalenka tersingkir di separuh akhir wanita.
Sinner menewaskan pemain Colombia, Daniel Elahi Galan 6-1, 6-1 dalam cuaca panas terik, manakala Sabalenka mengalahkan juara Wimbledon 2023, Marketa Vondrousova 7-5, 6-1.
“Ia sentiasa perlawanan yang sukar menentangnya. Dia benar-benar menguji saya. Jika anda hilang fokus walau seketika, anda boleh kehilangan set. Saya terpaksa berjuang untuk setiap mata,” kata Sabalenka.
Sementara itu, Sinner menguasai perlawanan menentang Daniel Elahi Galan dengan 17 pukulan kemenangan dan hanya empat kesilapan sendiri.
“Saya tidak tahu apa yang perlu dijangkakan. Bola agak ringan dan anda perlu melakukan servis dengan tepat jika mahu mara jauh dalam kejohanan ini.
“Hari ini saya berjaya cari arah yang betul tapi masih ada ruang untuk penambahbaikan. Sebagai perlawanan pertama, ia berjalan dengan sangat baik,” katanya. – AFP