KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terus menunjukkan komitmen terhadap kesejahteraan pesara kerajaan dengan memastikan empat daripada lima beradik Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran di Kampung Gayong, Pengkalan Chepa, di sini, menerima pencen terbitan sepanjang hayat.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, keempat-empat OKU itu adalah sebahagian daripada lapan anak di bawah jagaan ibu tunggal, Siti Rubiah Mohammad, 50, balu kepada pesara Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Allahyarham Kamal Ariffin Mohammed.
“Semasa ziarah dua keluarga pesara hari ini, kami bertemu keluarga di Kampung Panji yang menghidap kencing manis dan di sini, kami menziarahi balu pesara MPKB-BRI yang menerima pencen terbitan.
“Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan pesara dalam perkhidmatan awam dan tidak pernah melupakan mereka,” katanya kepada pemberita semasa Program Ziarah Pesara bersempena Mesyuarat Pengurusan Tertinggi JPA di sini, hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata, pihaknya kerap mengadakan lawatan untuk menyantuni pesara, memahami cabaran yang mereka hadapi, terutama bagi mereka yang berdepan dengan penyakit atau kekangan kewangan.
Katanya, kolaborasi antara agensi Persekutuan dan negeri seperti Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turut dijalinkan dalam meringankan beban keluarga pesara.
“Insya-Allah, kami akan terus mendekati pesara dalam program-program lain untuk menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap mereka yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Rubiah meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima keluarganya.
Katanya, pencen terbitan sepanjang hayat untuk empat anak OKUnya memberikan jaminan masa depan, sementara tiga anak OKU yang berusia 8, 11, dan 13 tahun masih bersekolah, dan tiga anak normal berusia 15, 17, dan 19 tahun memerlukan sokongan pendidikan.
“Dengan pencen suami sebanyak RM953 sebulan dan sedikit pendapatan dari perniagaan pisang goreng, ditambah bantuan pendidikan RM1,800 setahun dari JKM untuk anak bongsu, saya bersyukur.
“Saya juga bercadang mendaftarkan anak bongsu, Hanifah Hidayah, 8, untuk menerima pencen terbitan,” ujarnya. – UTUSAN