PETALING JAYA: Insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik tidak wajar dijadikan modal politik atau isu yang membakar sentimen rakyat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, politik yang matang bukan tentang siapa paling lekas menuding jari, tetapi siapa paling pantas mencari jalan penyelesaian.
“Anak muda hari ini tidak mahu melihat pemimpin mereka menjadi juara retorik tetapi gagal merintis jalan penyelesaian.
“Kita harus sedar bahawa sentimen yang dipanaskan secara sengaja mahupun tidak akan menutup ruang perbincangan rasional dan mengheret rakyat kepada polarisasi yang merugikan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Muhammad Kamil, memasang bendera secara terbalik sama ada akibat kecuaian atau niat tertentu tetap satu kesalahan kerana Jalur Gemilamg adalah simbol kedaulatan dan perpaduan rakyat yang mesti dihormati semua pihak.
Sebaliknya kata beliau, tindakan menuding jari tanpa fakta hanya memburukkan keadaan dan menutup ruang perbincangan rasional.
“Jika ada unsur sabotaj, tindakan tegas perlu diambil. Jika disebabkan kecuaian, kesedaran sivik dan pendidikan kenegaraan wajar dipertingkat,” katanya.
Muhammad Kamil berkata, Jalur Gemilang bukan milik mana-mana parti, sebaliknya milik seluruh rakyat Malaysia dengan memuliakannya bermakna mengutamakan perpaduan berbanding ego politik.
Menurutnya, AMK terus menjadi suara yang meredakan keadaan dan mengajak rakyat menumpukan perhatian kepada isu lebih penting seperti pemulihan ekonomi dan pengukuhan perpaduan menjelang sambutan kemerdekaan.
“Peranan pimpinan muda, tanpa mengira parti, adalah untuk menjadi agen perpaduan dan memimpin perbincangan berhemah, bukan mencipta jurang perpecahan.
“Kebenaran hanya akan muncul melalui proses siasatan yang telus dan adil dan bukannya melalui spekulasi atau tuduhan rambang di media sosial,” katanya. – UTUSAN










