PETALING JAYA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kerana mahu memberi perhatian kepada PRN Melaka dan bukannya untuk memberi muka kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengasas Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya mahu memfokuskan kekuatan akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, antara faktor menyumbang kepada keputusan untuk tidak bertanding pada PRN Negeri Sembilan adalah disebabkan hasil diperoleh dalam PRN Johor tidak seperti diharapkan.
“Dalam usia parti yang begitu mentah, kami memerlukan sedikit masa bagi menampakan kehadiran mereka di lapangan.
“Bersama fokus pada PRN Melaka dan PRU16. Kami sudah mencuba di Johor namun perlu diakui sumber tidak begitu banyak, jentera parti juga masih baru jadi perlu dilihat semula satu demi satu berdasarkan keputusan di Johor untuk diperbaiki.
“Keputusan tidak menyertai PRN Negeri Sembilan tiada kaitannya dengan Rafizi baik dengan siapa-siapa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Bersama mengumumkan untuk tidak menyertai PRN Negeri Sembilan, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi PRN Melaka.
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan bagi pihak Bersama oleh Rafizi, Nik Nazmi dan Syukri Razab.
Selain itu, keputusan PRN Negeri Sembilan juga disifatkan berpotensi memberi kesan terhadap beberapa isu politik semasa.
Ketika ditanya jaminan Bersama kembali tampil di PRN Melaka, Nik Nazmi berkata, perkara itu kelak berdasarkan perancangan dan kesediaan awal.
“Di Johor kita hendak uji kekuatan sokongan pengundi dengan menggarapkan sokongan lebih kepada medium digital.
“Bersama juga hendak menguji kesediaan pengundi untuk terima kita, namun hasilnya tidak seperti diharapkan. Jadi kami ambil keputusan untuk tidak sertai PRN Negeri Sembilan supaya membolehkan beri masa menggarap semula kekuatan parti,” katanya.-UTUSAN










