KUALA LUMPUR: Pihak tertentu diingatkan supaya tidak menggunakan isu kaum dan agama sebagai alat untuk meraih keuntungan politik.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, tindakan sebegitu hanya akan merugikan masyarakat serta mencetuskan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan dalam membantu komuniti India.
“Kalau hendak cari modal politik, jangan gunakan komuniti kita. Gunakan benda yang lain. Sudah banyak kali kita beritahu, jangan gunakan kaum, jangan gunakan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan berhubung projek komputer riba untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat India di negara ini apabila banyak bantuan dan inisiatif disalurkan untuk meningkatkan sosio ekonomi mereka secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Ramanan menjelaskan, pemberian komputer riba terpakai adalah langkah berpatutan mengambil kira peruntukan bagi pelaksanaan program-program lain untuk masyarakat India.
Katanya, sebanyak 6,000 unit telah diagihkan kepada 520 SJKT menerusi kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat Google dengan jaminan waranti oleh pembekal.
“Laptop-laptop ini bukannya dibekalkan oleh Ah Chong, Ah Ming, Raju, Muniandy atau Ahmad. Laptop-laptop ini dibekalkan oleh Google. Adakah Google tidak cukup besar untuk mereka?.
“Kalau kita berikan komputer yang baharu, ia akan melibatkan perbelanjaan yang sangat besar dan akhirnya menjejaskan program-program lain yang kita rancang untuk masyarakat India” katanya. – UTUSAN










