PETALING JAYA: Imigresen FC, (IFC) turun ke Kota Bharu dengan misi memburu kemenangan pertama di pentas Liga Super musim ini menjelang aksi berdepan Kelantan The Real Warriors (KTRW) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam ini.
Kedua-dua pasukan itu membuka kempen Liga Super dengan kekalahan besar, di mana IFC tewas 0-3 kepada Kuala Lumpur City manakala KTRW dibelasah Kuching City 4-0.
Ketua jurulatih Imigresen FC, (IFC) Yusri Che Lah berharap pasukannya dapat belajar daripada kesilapan pada aksi pertama dan mampu mempamerkan aksi lebih baik di Kota Bharu.
Jelasnya, dengan tempoh tiga hari sahaja untuk membuat persiapan bagi aksi kedua ini, Yusri optimis pasukannya mampu memburu mata pertama.
“Sudah pasti saya ingin mereka berada dalam keadaan terbaik.
“Saya harap pemain dapat meningkatkan kecergasan dan membina keserasian secepat mungkin kerana selepas bertemu Kelantan, kami akan kembali ke Batu Kawan minggu depan untuk menentang Terengganu dalam saingan Piala FA,” katanya.
Imigresen FC dijangka akan diperkuatkan dengan seorang lagi pemain import tengah iaitu Eduardo Sosa selepas tidak dapat diturunkan pada aksi menentang KL City berikutan isu pendaftaran. – UTUSAN