LONDON: Juara Olimpik, Keely Hodgkinson mengakui berasa terkejut dengan kemenangannya selepas kembali daripada kecederaan apabila merangkul pingat emas acara 800 meter (m) di Liga Berlian, Lausanne, kelmarin.
Hodgkinson, 23, mencatat masa satu minit 55.69 saat (s) dalam satu lagi persembahan hebat menjelang Kejohanan Dunia bulan depan apabila mencipta rekod kejohanan.
Itu merupakan kejohanan kedua yang dimenangi Hodgkinson selepas dia memenangi pingat emas bagi acara 800m di Liga Berlian, Poland pada Sabtu lalu.
“Saya sendiri agak terkejut, saya tidak boleh minta permulaan yang lebih baik. Saya berlatih bersungguh-sungguh untuk saat seperti ini tetapi apabila semuanya menjadi, ia sangat istimewa.
“Apabila rentak kelajuannya jadi begitu, anda lupakan semua orang dan ia membuahkan hasil dengan satu persembahan yang mantap,” kata Hodgkinson yang sebelum ini berehat panjang akibat kecederaan hamstring.
Walaupun beraksi dalam cuaca buruk namun itu tidak menghalang Hodgkinson membuktikan keunggulannya apabila dia memecut di pusingan terakhir untuk mencatat kemenangan bergaya.
“Trevor (Painter, jurulatihnya) berkata kepada saya beberapa minggu lalu, ‘awak sebenarnya mendahului jadual, saya mahu awak berada di tahap ini menjelang Tokyo’, jadi untuk berada di sini sekarang amat menakjubkan.
“Mudah-mudahan kita kekal sihat dan bina daripada apa yang telah kita capai dan lihatlah apa yang boleh berlaku nanti,” katanya. – AGENSI