LONDON: Juara dunia Formula Satu (F1), Nico Rosberg menggesa Lewis Hamilton untuk mendapatkan sokongan daripada kepimpinan tertinggi Ferrari.
Hamilton menjelaskan minggu lalu di Spa bahawa, dia telah menghantar dokumen kepada rakan sekerjanya di Ferrari sebanyak dua kali musim ini yang merangkumi topik seperti penyesuaian struktur kakitangan dan penambahbaikan kereta.
Rosberg merupakan bekas rakan sepasukan Hamilton berkata dia masih mengingati kebolehan pelumba Britain itu mempengaruhi pihak atasan sewaktu mereka beraksi bersama Mercedes.
“Malangnya, memang ada banyak kerja melobi yang boleh dilakukan oleh seorang pemandu dan ia boleh memberikan kelebihan,” kata Rosberg kepada podcast Sky F1.
“Itu adalah salah satu kekuatan terbesar Lewis ketika saya bersaing dengannya di Mercedes. Dia sangat mahir membina hubungan dengan pihak kepimpinan di Mercedes.
“Tiba-tiba saya akan dapat tahu, ‘malam tadi, Lewis makan malam di Stuttgart dengan ketua pegawai eksekutif pasukan!’
“Itu ibarat tikaman di hati, hanya untuk mendengarnya! Sebab kita tak tahu apa yang mereka bincangkan?
“Dia pandai dalam hal itu dan dia perlukan kemahiran tersebut di Ferrari, kerana tidak pernah merugikan untuk mendapat lebih banyak sokongan dari dalam pasukan,” kata Rosberg.
Terdahulu, Hamilton beberapa kali melawat Maranello dalam pertemuan baru-baru ini, mengatur mesyuarat dengan pasukannya malah, dia turut bertemu dengan Pengerusi Ferrari, John Elkann, dan ketua pegawai eksekutif pasukannya, Benedetto Vigna. – AGENSI