Gol tunggal Ifedayo tambah derita Penang FC

Gol tunggal Ifedayo tambah derita Penang FC

KAPTEN Kelantan TRW, Ifedayo Olusegun (kanan) meraikan jaringan pembukaan pasukannya selepas menewaskan penjaga gawang Penang FC, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Penang FC terus dirundung malang di laman sendiri apabila kali ini tewas 0-1 kepada Kelantan The Real Warriors (KTRW) dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini.

Diasak sebaik sahaja perlawanan bermula, pasukan pelawat ternyata begitu ‘bernafsu’ untuk memburu gol dalam perlawanan tersebut.

Tuan rumah yang sesekali menyerang juga beroleh beberapa peluang, namun, digagalkan oleh sentuhan penyudah yang tumpul.

Aksi tegang turut mewarnai perlawanan tersebut apabila beberapa pemain dilayangkan kad kuning termasuk dua pemain import tuan rumah, Danilo Sipovac dan Dylan Wenzel-Halls.

Dalam pada itu, asakan bertali-arus Kelantan TRW akhirnya membuahkan hasil apabila kapten mereka, Ifedayo Olusegun tenang melepaskan rembatan deras ke penjuru kiri gawang skuad Harimau Kumbang untuk gol pertama pelawat pada minit ke-27.

Gol tersebut berpunca daripada kesilapan Wenzel-Halls yang melakukan hantaran kurang kemas kepada pemain pertahanan, Ahmad Irfan Mohd. Noor sebelum bola berkenaan berjaya dipintas dan disudahkan dengan baik oleh pemain kelahiran Nigeria itu.

Malang bertimpa buat tuan rumah apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Khairul Akmal Rokisham dibuang padang kerana melakukan kekasaran terhadap penyerang pelawat, Sean Selvaraj pada minit ke-38 perlawanan.

Masuk babak kedua, Penang FC cuba bangkit untuk memburu gol penyamaan walaupun beraksi agak ‘tempang’ dengan kekurangan seorang pemain bermain Kelantan TRW.

Peluang itu muncul beberapa minit sebelum waktu sebenar perlawanan tamat apabila Sipovac dilihat seakan dijatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, pengadil, Shukor Zulkiflee memutuskan tiada sepakan penalti diberi selepas meneliti rakaman Video Bantuan Pengadil (VAR).

Keputusan 0-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Penang FC kini terperosok di tangga kesebelas liga berbanding Kelantan TRW yang berada di tangga kelima Liga Super selepas kedua-dua pasukan mengharungi empat perlawanan setakat ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN