GISSCO santuni warga emas dalam semangat merdeka

GISSCO santuni warga emas dalam semangat merdeka

GISSCO Sdn. Bhd. santuni warga emas sempena ulang tahun ke-50 menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dalam usaha memperkukuh semangat kemerdekaan dan menyantuni golongan warga emas, GISSCO Sdn Bhd meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-50 dengan menyemai nilai kemanusiaan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkannya.

Bertemakan ‘Kasih Merdeka: 50 Tahun GISSCO -Kasih & Bakti untuk Warga Emas’, GISSCO yang merupakan syarikat Bumiputera pertama diberi Lesen 001 oleh Petronas menyantuni 50 penghuni pusat jagaan dengan pelbagai aktiviti mesra komuniti.

Aktiviti tersebut termasuklah persembahan lagu-lagu patriotik, kibaran Jalur Gemilang, sambutan hari lahir khas serta penyampaian sumbangan barangan keperluan dan sumbangan tunai berjumlah RM5,000 kepada pusat jagaan.

Pengarah GISSCO Sdn Bhd, Umaira Mohammad Rashid berkata, sambutan ini bukan sekadar mengenang sejarah syarikat, malah memberi makna lebih besar dengan menyemai nilai kemanusiaan dan menghargai sumbangan generasi terdahulu yang menjadi tulang belakang kepada pembinaan negara.

“Kasih sayang tidak mengenal usia, dan warga emas bukan sekadar penerima, malah penyumbang kepada sejarah negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Umaira turut berkata, dengan sokongan pemain industri dan komuniti, GISSCO terus komited memperkukuh nilai tanggungjawab sosial serta menyumbang kepada pembangunan tenaga dan kesejahteraan rakyat.

“Program ini juga bertujuan menyemarakkan semangat kemerdekaan bersama komuniti warga emas, menyumbang kembali kepada masyarakat sempena ulang tahun GISSCO ke-50, mendorong penglibatan kesukarelawanan dalam kalangan kakitangan dan rakan industri serta memperkasa budaya prihatin melalui aktiviti sukarela dan kebajikan,” katanya.

Katanya lagi, Umaira turut berharap GISSCO menjadi contoh kepada syarikat korporat lain untuk turut serta memupuk nilai kasih, hormat dan kemasyarakatan, selari dengan roh kemerdekaan dan legasi yang telah dibina selama 50 tahun,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN