PUTRAJAYA: Kerajaan akan menganjurkan Majlis Memperingati Ulang Tahun Pemergian Ke-50 Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein tahun ini sempena Sambutan Bulan Kebangsaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, majlis bertujuan memperingati jasa dan peranan Perdana Menteri Kedua itu.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perpaduan Negara untuk merangka acara-acara khusus bagi tujuan itu.
“Perdana Menteri telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa hari ini, 14 Januari, adalah tarikh ulang tahun ke-50 pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak.
“Ini satu tarikh yang penting bukan hanya untuk diperingati, tapi seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini, pada setiap tahun sepanjang Bulan Kebangsaan akan ada tokoh negarawan yang akan diperingati melalui satu acara khusus,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri bermula 22 September 1970 sebelum meninggal dunia pada 14 Januari 1976 ketika mendapatkan rawatan di London.
Sepanjang memimpin negara, Tun Abdul Razak mendapat julukan Bapa Pembangunan Malaysia kerana jasanya memperkenalkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN). – UTUSAN









