BRUSSELS: Ratu pecut Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce berazam menamatkan karier gemilangnya dengan cara paling indah pada Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo, Jepun bulan depan.
Fraser-Pryce yang membuat penampilan sulung di kejohanan dunia sejak 2007 di Osaka mengakui pengalaman awalnya sebagai pelari sandaran 4×100 meter (m) telah mengubah seluruh perjalanan hidupnya.
“Saya sudah layak ke Kejohanan Dunia dan itu adalah matlamat saya.
“Saya mahu menutup babak karier ini dengan cara yang gemilang, dan saya yakin segalanya akan menjadi nyata di Tokyo,” kata Fraser-Pryce.
Pelari berusia 38 tahun itu kini sekadar mencatat 11.17 saat (s) di tangga keempat pada aksi Liga Berlian Brussels baru-baru ini, ketinggalan di belakang Sha’Carri Richardson, Melissa Jefferson-Wooden dan Daryll Neita.
Dalam pada itu Fraser-Pryce menegaskan tumpuannya kini adalah memperhalusi teknik terutama pada permulaan larian yang dilihat masih belum sempurna.
“Tiada banyak masa untuk rombakan besar, hanya penambahbaikan kecil dan percaya semuanya akan jatuh pada tempatnya,” katanya yang menganggap Jefferson-Wooden sebagai pilihan utama di Tokyo.
Bagaimanapun, legenda itu tidak gusar kerana baginya kejayaan sebenar adalah menutup karier dengan penuh maruah dan meninggalkan warisan buat generasi seterusnya. – AGENSI