DI sebuah kedai cenderamata di Jepun, deretan mainan, pelekat dan rantai kunci memaparkan watak-watak kecerdasan buatan (AI) yang semakin popular di seluruh dunia dan dikenali oleh hampir setiap kanak-kanak, namun asing bagi kebanyakan orang dewasa.
Antara watak pelik yang menjadi tumpuan fenomena dalam talian digelar Italian Brainrot ini termasuk ikan jerung berjalan memakai kasut besar, buah oren berotot dan Ballerina Cappuccina, seorang penari balet berkepala cawan.

“Pada mulanya ia langsung tidak kelakar, tetapi lama kelamaan ia menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Kadang-kala kami gunakannya untuk mengusik dan menyakat rakan-rakan, itu yang membuatkannya menjadi lucu,” kata remaja berusia 16 tahun, Yoshi Yamanaka-Nebesney, dari New York kepada AFP.
Panggilan Brainrot diilhamkan daripada kiasan otak yang layu akibat melayan kandungan media sosial tanpa henti, khususnya imej-imej keterlaluan yang dihasilkan melalui AI.
Banyak klip yang popular dihasilkan dengan alih suara bahasa Itali yang lantang, kasar dan kadang-kadang tiada makna, tersebar di platform seperti TikTok sejak awal tahun ini hingga menjadi kegilaan generasi Gen Z dan Gen Alpha.
Watak-watak kartun AI ini pantas menjadi meme global, mencetuskan gelombang kandungan baharu seperti ‘Brainrot Rap’ yang sudah ditonton lebih 116 juta kali di YouTube.
Satu video YouTube Shorts bertajuk Learn to Draw 5 Crazy Italian Brainrot Animals termasuk watak gajah kaktus bernama Lirili Larila kini sudah mencapai 320 juta tontonan.
“Ada macam-macam frasa unik setiap watak ini. Saya pernah pergi bercuti bersama rakan-rakan saya ke Mexico dan orang di sana juga sering bergurau mengenainya,” kata Yamanaka-Nebesney, yang berada di Tokyo bersama ibunya, Chinami.
Chinami pula hanya terpinga-pinga, langsung tidak memahami apa yang diceritakan anaknya itu.
Fenomena ini bukan hanya popular di Asia Tenggara, tetapi peminatnya boleh ditemui dari Kenya, Sepanyol, Korea Selatan hinggalah ke Jepun dan Amerika Syarikat (AS), dengan beberapa video paling popular memuatkan bahasa dan budaya Indonesia.
Bahasa ‘Melodic’ dan jangkauan global
Pensyarah Media Baharu dan Budaya Digital Universiti Amsterdam, Idil Galip berkata, trend internet bergerak pantas dan Italian Brainrot mencapai kemuncaknya mungkin sebulan atau dua bulan lalu.
“Bahasa Itali adalah bahasa melodi yang memberi ruang kepada jenaka dan jumlah besar pengguna media sosial di Indonesia yang kerap berkongsi hantaran mengenai Brainrot menjadi penyumbang utama jangkauan global.
“Fenomena ini turut mewujudkan ekonomi pemasaran berbilang peringkat di mana pembuat video AI memanfaatkan populariti Italian Brainrot untuk menjual barangan atau mendapatkan pendapatan melalui iklan,” katanya.
Di Jakarta, seorang pekerja badan bukan kerajaan (NGO), Nurina, 41, berkata, anak lelakinya yang berusia tujuh tahun amat menggemari dunia brainrot yang juga disebut anomali.
“Kadang-kala semasa saya jemput dia dari sekolah, dia akan menjerit ‘Mama! Bombardino Crocodilo!’,” katanya merujuk kepada watak kapal pengebom berkepala buaya.
Walaupun menyeronokkan, sebahagian video dikritik kerana mengandungi mesej berunsur sensitif yang mungkin tidak difahami anak-anak kecil termasuk rujukan dalam bahasa Itali tentang
Bombardino Crocodilo mengebom kanak-kanak di Gaza.
“Masalahnya, watak-watak ini dimasukkan ke dalam kandungan dewasa dan ramai ibu bapa tidak cukup celik teknologi untuk sedar bahayanya,” kata Ahli Psikologi Klinikal di Jakarta, Oriza Sativa.
Tung Tung Tung Sahur
Watak brainrot dari Indonesia yang paling dikenali dan mula mencetus fenomena dalam kalangan kanak-kanak termasuk di Malaysia ialah ‘Tung Tung Tung Sahur’.
Ia menyerupai kentongan, sejenis gendang panjang yang digunakan untuk mengejutkan orang bersahur pada bulan Ramadan.
Dengan populasi muda yang aktif di alam digital seramai 280 juta orang, Tung Tung Tung Sahur seakan menjadi ikon dunia maya Indonesia.
Pencipta asal watak Tung Tung Tung Sahur dikenali sebagai Noxa, kini diwakili oleh Mementum Lab, sebuah badan gabungan kolektif artis, peguam dan penyelidik berpangkalan di Paris.
“Noxa adalah pembuat kandungan dari Indonesia berusia bawah 20 tahun. Dia menghasilkan video AI yang pantas dan penuh rangsangan visual.
“Kami sedang membantu Noxa merundingkan perjanjian untuk karyanya. Dia sendiri tidak menggelarkan dirinya sebagai artis kontemporari, tetapi kami berpendapat dia sebenarnya sudah pun bertindak seperti seorang artis,” kata Mementum Lab yang menumpukan pada isu rumit berkaitan harta intelek AI.
Noxa sendiri berkata, watak itu diilhamkan oleh bunyi gendang sahur yang sering didengarinya sewaktu kecil.
“Saya mahu watak ini bukan sekadar jenaka sementara, tetapi mempunyai makna besar kepada masyarakat,” katanya.
Namun, nuansa budaya sering kali hilang apabila ia tular secara global.
Seorang pelancong berusia 12 tahun di Tokyo berkata, dia menyangka Tung Tung Tung Sahur adalah kayu pemukul besbol.
“Jurang generasi ini nampaknya akan kekal. Bagi saya watak-watak ini tidak comel langsung,” kata seorang wanita sambil tertawa ketika melihat deretan patung Italian Brainrot di sebuah kedai di Jepun.









