ZURICH: Pemegang rekod dunia, Armand Duplantis terus membuktikan dominasi dalam acara lompat bergalah apabila merangkul kejuaraan Liga Berlian buat kali kelima berturut-turut di Zurich, hari ini.
Jaguh Sweden itu melepasi ketinggian 6.00 meter pada percubaan kelima sebelum dinobatkan juara menerusi kiraan percubaan selepas pesaing dari Greece, Emmanouil Karalis turut mencatat lompatan sama.
Duplantis, 24, yang baru sahaja memperbaharui rekod dunianya dengan 6.29m di Budapest dua minggu lalu, kini hanya dua trofi di belakang rekod tujuh gelaran yang dikongsi Renaud Lavillenie (Perancis) dan Christian Taylor (AS).
“Saya seorang manusia biasa, dan saya tidak memecahkan rekod dunia setiap hari.Ada hari-hari tertentu di mana saya berasa sangat baik dan bertenaga, tetapi ada juga hari-hari lain di mana saya mungkin berasa kurang bersemangat atau sedikit letih.
“Hari ini saya rasa di antaranya tidak terlalu hebat, tetapi juga tidak terlalu buruk.Tetapi lima trofi ini sangat bermakna.
Saya semakin hampir kepada rekod Renaud,” katanya selepas pertandingan.
Dalam acara wanita, Katie Moon dari Amerika Syarikat muncul juara selepas melompat 4.82m, menewaskan rakan senegara Sandi Morris, sekali gus mengutip trofi Liga Berlian keduanya.
Sementara itu, juara dunia dua kali, Joe Kovacs (AS) menjuarai lontar peluru lelaki dengan catatan 22.46m,
Bintang tuan rumah, Simon Ehammer menghadiahkan sorakan gemuruh di Sechselautenplatz selepas menewaskan pesaing Itali, Mattia Furlani dengan catatan 8.32m dalam lompat jauh. – AGENSI