Salah satu aspek menarik dalam projek PENA Madani ialah fokus kepada penulis muda. Usaha ini dilihat sebagai langkah strategik untuk melahirkan generasi penulis baharu yang mampu menyambung legasi sastera dan intelektual negara.
Penulis muda perlu diberi ruang dan peluang untuk berkarya. Walaupun penulis berpengalaman tetap diberi perhatian, kami berusaha untuk menggabungkan karya pelbagai generasi agar wujud keseimbangan dan kesinambungan dalam dunia penulisan.
Gabungan penulis muda dan berpengalaman di bawah satu inisiatif ini diharap dapat melahirkan karya yang segar, pelbagai dan berkualiti tinggi.
Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, termasuk pembaca, penulis, penerbit dan pemimpin negara, masa depan industri penerbitan buku Malaysia dilihat semakin cerah dan penuh harapan.
Seorang penulis muda Muhammad Ruzaini Awang berkata, menjadi penulis muda berdepan cabaran besar kerana beberapa perkara.

Kata beliau, terdapat beberapa cabaran penulis muda dalam atmosfera berkarya, salah satunya adalah medium menyalurkan idea yang masih menjadi tanda tanya para penulis muda tentang bagaimanakah karya-karya itu dapat disalurkan dengan mudah supaya mendapat tempat bersama-sama penulis sedia ada.
Kedua, penulis muda itu sendiri yang masih terlalu taasub dengan penulis sedia ada sehingga menulis atau mengikut gaya mereka menyebabkan mereka alpa dalam aspek kreatif.
Seterusnya, cabaran penulis muda dalam isu penerbitan sememangnya sentiasa menjadi isu hangat mutakhir ini. Faktor karya yang dianggap masih mentah menjadi salah satu sebab menghilangkan rasa minat mereka untuk berkarya dengan alasan kurang diberi perhatian.
Natijahnya, cabaran ini seharusnya tidak dipandang remeh oleh semua pihak.
“Ada banyak cara yang perlu dilakukan untuk menggalakkan penulis muda menulis, saya percaya sayembara menjadi salah satu penggalak namun dek kerana persaingan dengan penulis sedia ada, juga menjadi salah satu sebab mengapa sayembara tidak lagi menjadi penggalak utama pada era ini. Namun begitu, kehadiran bengkel penulis muda yang bersesuaian mampu menjadi tunjang utama ramai remaja dan penulis muda tertarik,” katanya.
Selain itu, jalinan sinergi yang bagus antara industri penggiat sastera yang terlibat seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama seluruh persatuan penulis di seluruh negara juga salah satu penggalak besar.
Ya, orang muda di Malaysia masih menjadi skala terbesar dalam budaya membaca.
Data infografik pengunjung Pesta Buku Antarabangsa yang semakin meningkat sejak tahun 2022 dengan 1.3juta, 2023 dengan 1.6juta dan 2024 dengan 1.8juta meskipun secara rawak masih mampu menunjukkan golongan muda semakin prolifik dan serius terhadap budaya membaca, tidak kiralah sama ada bahan bacaan fiksyen mahupun bukan fiksyen, karya perdana mahupun karya popular.
Namun pada masa sama, Muhammad Ruzaini berharap kerajaan supaya membantu memperkasa sastera di Malaysia dan menggalak orang muda supaya terus berkarya.
“Bertitik tolak daripada yang diperkatakan, saya berharap agar semua suara cabaran dan saranan itu didengar dan diambil tindakan.
“Semua penggiat sastera, persatuan penulis, pihak yang bertanggungjawab seperti DBP, perpustakaan negeri dan negara harus membentuk jalinan sinergi dalam pelbagai penganjuran atau sayembara khas kepada penulis-penulis muda, bengkel penulisan karya kreatif dan pelbagai kegiatan sastera yang hanya melibatkan penulis muda,” ujarnya.
Beliau yang juga Munsyi Dewan (Bahasa) 2021, Munsyi Dewan (Sastera) 2023 serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) juga berharap penulis mapan mahu pun penulis senior juga harus menjadi mentor kepada penulis muda yang dirasakan berpotensi dan mampu menyerlah.
Bagi penulis buku komik kanak-kanak, Khairil Kamarudin, 38, bagi kategori pelajar sekolah, keupayaan kanak-kanak sekolah rendah untuk membaca berkurangan ketika berlaku pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu.
Tambahnya, peningkatan membaca dalam golongan kanak-kanak dapat dilihat ketika buku komik kembali menjadi rebutan.
Perkara ini mungkin menarik minat mereka kerana visual yang digunakan dalam komik tersebut mempunyai warna dan grafik yang cantik, serta tidak mempunyai teks tulisan yang panjang.
“Untuk kategori pelajar sekolah rendah, saya boleh katakan ada penurunan kadar membaca dalam kalangan mereka. Hal ini bukan disebabkan oleh tiada minat tetapi keupayaan untuk membaca itu lemah.
“Mungkin disebabkan dua tahun mereka bersekolah dengan cara yang kurang efisien, lebih-lebih lagi pembelajaran dijalankan secara dalam talian sahaja, jadi kita dapat lihat mereka lemah dari segi 3M (membaca, mengira, menulis).
“Apabila mereka lemah membaca terutamanya, sudah semestinya minat untuk membaca itu kurang,” jelasnya.
Namun begitu, penulis itu berkata, kecenderungan kanak-kanak membaca semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Seorang penulis tersohor, Datuk Dr. Lim Swee Tin berharap generasi penulis muda berperanan besar terus menghasilkan karya bagi memastikan kelangsungan karya sastera Melayu.
“Adakah sastera Melayu menemukan zaman penghujung dan penamatnya dalam zaman yang segalanya diasak dengan dinamisme teknologi luar biasa,”ujarnya.
Beliau berkata. pengarang muda sedang berdepan dengan sesuatu yang baharu yang pastinya akan mengujakan diri mereka.
Teknologi yang berkembang menjadi cabaran bentuk rupa masyarakat yang kehausan nilai, dan bagaimana rupa bentuk masyarakat akan datang .
“Ini jawapan klise dan memang biasa orang kata, untuk menjadi penulis yang baik dan berkualiti memang memerlukan mereka membaca dengan banyak.
“Kalau mereka banyak membaca, terutama sekali genre yang pelbagai, itu akan menjadikan mereka berpengetahuan dalam pelbagai bidang ilmu. Itulah yang menjadikan karya mereka lebih berkualiti,” katanya.
Selain itu, beliau juga menasihati mereka yang ingin menjadi penulis agar sentiasa mendengar dan menerima maklum balas pembaca.
Katanya, maklum balas atau pendapat pembaca adalah sangat penting untuk memperbaiki penulisan pada masa akan datang.
“Biasalah kalau dapat maklum balas yang negatif, ambil itu sebagai pembakar semangat untuk baiki dan terus menghasilkan cerita-cerita yang lebih berkualiti,” katanya.
Bercakap mengenai cabaran, katanya, setiap kerjaya sudah semestinya mempunyai rintangan dan liku-likunya yang tersendiri, termasuklah kerjaya penulis.
Beliau turut mengulangi gesaan Ketua Pengarah DBP, supaya generasi muda menghasilkan karya asli.
Hanya karya asli yang lahir daripada ketulusan rasa dan kejernihan fikiran memberi pembaca impak kesenian dan estetik. – UTUSAN









