ALOR GAJAH: Hasrat 45 penduduk Jalan Kereta Api Lama, Kampung Pengkalan di sini untuk memiliki tanah sendiri sejak lebih 30 tahun lalu akhirnya tercapai selepas menerima Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) dan Notis 5A daripada kerajaan negeri.
Pemohon, R. Palanisamy, 49, berkata, proses permohonan tanah dibuat oleh mendiang bapanya sebelum usaha itu diteruskannya bersama abang, R. Bhaskar, 54, dan kakak, R. Sarojini, 61.
Katanya, dia sekeluarga bersama penduduk lain pernah dianggap tinggal di kawasan setinggan hanya kerana tidak memiliki dokumen milikan tanah yang sah.
“Sejak kecil lagi kami sudah tinggal di kawasan itu. Ketiadaan dokumen sokongan membuatkan kami berasa tidak sedap hati sebab sebelum ini kami dianggap seperti setinggan.
“Jadi, saya bersama abang dan kakak telah memohon sebanyak tiga kali kepada kerajaan negeri. Kami tidak menyangka perjuangan untuk memiliki tanah sendiri sejak lebih 30 tahun lalu diluluskan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Kelulusan PTK dan Notis 5A, semalam.
Palanisamy antara 45 penerima Surat Kelulusan PTK dan Notis 5A yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Seorang lagi pemohon, M. Nalla Kumar, 50, berkata, sebelum ini dia berasa bimbang setiap kali mendengar khabar bahawa kawasan penempatannya hendak dibangunkan.
“Hati jadi tak tenang apabila mendapat tahu ada cadangan hendak bina jalan baharu atau pemaju ingin ambil tanah untuk pembangunan. Kita tiada apa-apa hendak tunjuk untuk buktikan tanah ini milik kita.
“Sudah dua atau tiga generasi yang cuba memohon, malah ada yang telah meninggal dunia tetapi masih tidak berjaya. Ayah saya telah berusaha memohon tanah ini sejak muda dan pada usia 79 tahun, tapak rumah ini akhirnya menjadi milik kami,” katanya. – UTUSAN










