PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski perlu memperluaskan skop pemilihan pemain kebangsaan tanpa meminggirkan bakat-bakat sedia ada termasuk di Liga A1 Semi Pro.
Bermulanya Liga Malaysia (Liga M) bulan ini memberikan barisan kejurulatihan kelompok pilihan pemain lebih besar, namun diharapkan tumpuan tidak diberikan kepada Liga Super semata-mata.
Walaupun Liga A1 hanya berstatus semi profesional dan liga kelas kedua di negara ini, tetapi tidak mustahil terdapat pemain-pemain berkualiti yang boleh diserapkan dalam skuad Harimau Malaya.
Liga A1 Semi Pro musim ini dilihat lebih kompetitif dengan penyertaan 16 pasukan dan saingan merebut dua tempat ke Liga Super musim depan pastinya berupaya melahirkan pemain berbakat.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Dollah Salleh, berkata, Liga A1 bukan lagi pertandingan berstatus ‘cap ayam’ dan mereka berhak diberikan peluang untuk mewakili skuad kebangsaan kerana pemilihan pemain bukan hak eksklusif Liga Super.
“Sebenarnya istilah (pemilihan pemain terlalu menjurus kepada pemain dari kelab Liga Super). Tidak kiralah di mana pemain beraksi, tetapi kalau ada yang beraksi baik, jurulatih pasti akan menentukannya kalau jurulatih rasa mereka layak.
“Kenapa tidak (pilih pemain dari Liga A1 Semi-pro). Tetapi, kalau cerita mengenai Liga A1 Semi Pro, sekarang kita nampak ia menunjukkan perkembangan baik dan boleh bersaing dengan Liga Super.
“Kalau jurulatih rasa layak, kenapa tidak? Kalau bercerita tentang Liga A1 Semi Pro, kita nampak kali ini pertandingan ini akan menyerlah dan saya lihat boleh bersaing dengan Liga Super,” kata Dollah yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Skuad kendalian Cklamovski akan kembali berkumpul pada bulan depan bagi mengharungi dua aksi persahabatan iaitu berdepan Singapura dan Palestin.
Aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 itu adalah sebagai persiapan sebelum skuad Harimau Malaya mengharungi Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Laos dan Nepal pada Oktober serta November ini.
Dalam perkembangan sama, Dollah yang juga bekas pengendali Harimau Malaya mengakui saingan Liga A1 semakin mendapat tempat dalam hati peminat tempatan, namun beliau berharap saingan tersebut akan bebas daripada terpalit masalah tunggakan gaji.
Jelasnya, jika timbul isu berkenaan ia secara langsung akan merosakkan imej dan kualiti pertandingan tersebut.
“Nampak ia makin menyerlah dan kita tidak mahu timbul isu pasal gaji. Kita nampak pertandingan ini sudah gah, jadi kena teruskan kerana saya percaya pertandingan ini akan menyajikan saingan menarik,” ujarnya.-UTUSAN