Buli: Sifat diktator punca kezaliman

Buli: Sifat diktator punca kezaliman

MOHD. ALI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEJALA buli dalam kalangan masyarakat, khususnya remaja semakin membimbangkan. Perbuatan yang merangkumi ejekan, penghinaan, kekerasan fizikal serta ugutan ini bukan sahaja melanggar undang-undang negara, malah bercanggah dengan ajaran Islam.

Berkongsi pandangan bersama Mingguan Malaysia, bekas Pensyarah Bahasa Arab, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd. Ali Abdullah, 61, berkata, buli sememangnya dilarang kerana ia melibatkan persoalan seperti maruah, harta benda, darah dan keturunan.

Menurutnya, ulama terdahulu ada menegaskan bahawa Islam mengajar umatnya untuk menjaga maruah, kehormatan dan perasaan orang lain. Setiap bentuk perbuatan yang boleh mendatangkan kesusahan dan penderitaan kepada orang lain adalah haram dilakukan.

MOHD. ALI ABDULLAH
Umur: 61 tahun
Tarikh lahir: 17 Julai 1964
Tempat lahir: Kampung Binjai, Kemaman, Terengganu.
Status: Berkahwin, lima anak.
Pendidikan awal:
• Sekolah Menengah Agama Al-Falah, Kemaman.
• Sekolah Menengah Sultan Ismail, Dungun.
Pendidikan tinggi:
• Diploma Pengajian Islam, Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
• Diploma Pendidikan, Maktab Perguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu.
• Ijazah Pengajian Islam dan Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, Kaherah.
• Sarjana Pengajaran Bahasa Arab sebagai Bahasa Ke-2, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pekerjaan:
• Bekas pensyarah Bahasa Arab & Penyelaras Pusat Bahasa UIAM Cawangan Kuantan.
Khidmat Masyarakat/Agama: Penceramah bebas di masjid dan surau sekitar daerah Kuantan, Pahang.

“Perbuatan buli lahir daripada sifat diktator, kerana seorang yang diktator, akan mengarahkan individu lain mengikut kemahuan dan kehendaknya dan paling jelas tidak ada yang boleh mengatasi atau melebihinya dalam apa keadaan sekali pun, jika ada orang di anggap boleh mengikut kehendaknya dan ia berlaku, maka berlakulah isu buli ini.

“Islam menekankan nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan menjaga maruah sesama manusia. Segala perbuatan yang menyakiti fizikal mahupun emosi orang lain dianggap dosa dan perlu ditinggalkan,” katanya.

Mohd. Ali berkata, buli tidak boleh dipandang ringan, ramai mangsa menanggung trauma, kemurungan, rasa rendah diri dan gangguan emosi berpanjangan. Hal ini boleh menjejaskan prestasi akademik dan masa depan mereka yang terlibat dalam gejala ini.

Justeru katanya, untuk membendung perkara ini, semua pihak mestilah memainkan peranan bermula dari rumah hingga ke sekolah mahupun pusat pengajian tinggi.

“Ibu bapa seharusnya memantau anak-anak sejak awal, jika terhidu adanya sikap yang demikian mereka harus segera dibetulkan melalui perbincangan dan memberi soalan-soalan yang boleh membuka minda mereka.

“Seperti contoh memberi soalan; ada orang lain pukul kamu, adakah kamu suka? Jika ada orang lain mendera kamu, adakah kamu suka? Dan beberapa soalan berkaitan supaya mereka berfikir.

“Inilah antara contoh soalan Rasulullah SAW, apabila ada pemuda menyatakan hasrat untuk berzina dan Baginda bertanya kepada pemuda itu; adakah kamu suka orang berzina dengan ibumu, kakakmu, dengan adik perempuanmu atau dengan isterimu?… dan semua jawapan pemuda itu adalah, tidak, maka begitu juga orang yang kamu hendak berzina dengannya itu adalah sama ada ibu, kakak, adik perempuan atau isteri kepada orang lain. Pemuda itu terus membatalkan hasratnya itu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, program kesedaran dan bimbingan agama perlu diperluaskan supaya generasi muda lebih memahami kepentingan menjaga akhlak dan adab. Bukan sahaja berjaya dalam kehidupan di dunia ini tetapi hingga ke akhirat kelak.

“Kita bukan sahaja diharuskan berdoa kepada Allah SWT tetapi pada masa sama wajib berusaha ke arah kebaikan, melalui menekankan pendidikan agama bagi orang Islam dan moral bagi mereka yang bukan beragama Islam,” katanya.

Tambahnya, memberi pendidikan agama bukan sekadar menghantar ke sekolah agama, malah penekanan yang jitu kepada pelajar kerana apa yang berlaku dalam kes adik Zara Qairina yang memberi sedikit sebanyak gambaran sedangkan sekolah beraliran agama Islam juga boleh berlaku gejala ini.

“Pendidikan Islam termasuk memastikan anak-anak melaksanakan perkara diajar dan dibimbing di sekolah dan memantau mereka secara berkala, kerana agama Islam adalah berteraskan ilmu berkaitan dosa, pahala dan balasan di hari akhirat nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN