Bintang renang 12 tahun China cetus persoalan etika

Bintang renang 12 tahun China cetus persoalan etika

YU ZIDI - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Di usia 12 tahun, Yu Zidi bukan sahaja mencabar perenang dewasa di Kejohanan Akuatik Dunia, malah menewaskan sebahagian daripada mereka untuk mencipta sejarah sebagai pemenang termuda dalam tempoh 52 tahun penganjuran.

Namun di sebalik kekaguman terhadap bakatnya, usia muda Zidi menimbulkan kebimbangan pakar psikologi dan pemerhati sukan mengenai kesan mental serta fizikal terhadap atlet remaja.

Penulis dan pengkritik sukan kanak-kanak, Linda Flanagan, menegaskan perkara ini wajar diberi perhatian serius.

“Seorang berusia 12 tahun tidak berlatih seperti usia 18 atau 20 tahun kerana tubuh mereka belum bersedia menanggung beban itu. Secara emosi juga, ia bukan untuk kebaikan mereka,” kata Flanagan.

Bekas perenang Britain, Sharron Davies, pula berpandangan pencapaian Yu adalah satu pengalaman menyeronokkan, bukannya tekanan, kerana tiada apa yang perlu dia hilangkan.

“Adalah silap besar jika menganggap gadis muda itu gugup kerana sebenarnya dia berada di awang-awangan seperti saya ketika membuat penampilan pertama di Olimpik. Tiada apa yang perlu hilang dan segala-galanya untuk dimenangi,” kata Davies.

Zidi bagaimanapun mengakui perlumbaan di Singapura lebih sengit daripada jangkaannya tetapi atmosfera yang hebat dan pingat gangsa itu memberi motivasi untuk terus bekerja keras.

“Pingat ini buatkan saya mahu terus berlatih dan membawanya pulang untuk berkongsi kegembiraan bersama keluarga,” kata Zidi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN