PETALING JAYA: Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan tetap menyertai Kejohanan Kelayakan Komanwel di India yang membuka tirai esok biarpun belum pulih sepenuhnya.
Aniq mengakui terpaksa menurunkan sasaran angkatan selepas pengimejan resonans magnetik (MRI) mengesahkan koyakan pada tendon bahu kanannya masih belum sembuh.
“Sekarang saya hanya angkat sekitar 85 kilogram (kg) bagi snatch dan 110kg untuk clean and jerk dalam latihan. Saya tidak boleh paksa diri sangat.
“Saya tetap ke India, tetapi hanya buat yang minimum kerana sasaran utama saya adalah Kejohanan Dunia di Norway pada Oktober nanti,” kata Aniq kepada Mingguan Malaysia.
Kejohanan di Ahmedabad ini menjadi salah satu tiketnya untuk layak secara merit ke Sukan Komanwel yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland pada Julai tahun depan.
Aniq sebelum ini mengidam untuk mencapai jumlah keseluruhan 285kg bagi kategori bawah 60kg sekali gus mengesahkan kelayakannya ke temasya empat tahun sekali itu.
Namun kecederaan yang dialami di Kejohanan Angkat Berat Asia Mei lalu di China memaksa beliau memberi tumpuan kepada rawatan termasuk suntikan plasma (PRP) di Institut Sukan Negara (ISN).
Justeru, Aniq menegaskan peluang untuk ke Sukan Komanwel masih cerah kerana masih ada satu lagi kejohanan kelayakan pada tahun depan.
“Keutamaan saya kini hanya untuk memulihkan kecergasan saya untuk Kejohanan Dunia terlebih dahulu sebelum bersaing untuk Sukan SEA di Thailand untuk menutup musim,” katanya.
Untuk rekod, Aniq merupakan juara bertahan pada Sukan Komanwel dan Kejohanan Komanwel ini selepas meraih emas pada edisi 2022 di Birmingham dan Fiji pada tahun lalu menerusi kategori Bawah 61kg. – UTUSAN