Akmal kekal pendirian, tidak gentar ancaman Pemuda DAP

Akmal kekal pendirian, tidak gentar ancaman Pemuda DAP

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh kekal dengan pendirian tegas dan tidak gentar dengan ancaman Pemuda DAP (DAPSY) yang mahu memutuskan hubungan dengannya susulan kritikan terhadap parti itu.

Dr. Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO tidak tunduk dengan ugutan mana-mana pihak kerana perjuangan parti berlandaskan prinsip jelas mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

“DAP boleh terus menyerang, tetapi kami tidak gentar. UMNO sudah melalui pelbagai cabaran dan Pemuda tetap akan berdiri di barisan hadapan untuk mempertahankan maruah parti,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Pemuda DAP sebelum ini mengecam Dr. Muhammad Akmal yang bertindak mengetuai perarakan di Kepala Batas pada 14 Ogos lalu berhubung isu Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah premis perniagaan. 

Tindakan tersebut mencetuskan kecaman DAP yang menyifatkan himpunan berkenaan sebagai provokatif.

Sehari selepas kejadian itu, DAPSY mengeluarkan gesaan supaya DAP memutuskan hubungan politik dengan Dr. Muhamad Akmal atas alasan beliau melagakan masyarakat serta mengancam keharmonian kaum.

Dr. Muhamad Akmal kemudian menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan sebarang tindakan disiplin tidak boleh hanya ditumpukan terhadap dirinya seorang.

Katanya, kenyataan Mohamad jelas menunjukkan isu yang dibangkitkan bukan berpunca daripada keputusan individu, sebaliknya hasil pendirian bersama demi kepentingan parti dan rakyat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Tok Mat (Mohamad) kerana memahami keadaan sebenar. Apa yang berlaku bukan isu peribadi tetapi melibatkan keputusan kolektif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN