GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah sama sekali menolak atau membatalkan pelaksanaan terowong dasar laut seperti yang didakwa Jurucakap Pemuda Parti Gerakan Rakyat negeri, Tan Zhen Zune.
Timbalan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang, R. Vijay Pillay berkata, kenyataan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja berbaur hasutan, malah memperlekehkan usaha-usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan mutu kehidupan rakyat khususnya meningkatkan kesalinghubungan jaringan pengangkutan di negeri itu.
Katanya, umum mengetahui terowong dasar laut yang bakal menghubungkan kawasan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam (Pakej 4) merupakan salah satu daripada komponen projek-projek utama dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
”Tujuan pelaksanaan terowong dasar laut ini adalah penting dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas yang kian melarat khususnya di jambatan Pulau Pinang.
”Ia bertentangan dengan tohmahan-tohmahan Zhen Zune yang kononnya menyatakan kerajaan negeri telah membuat pembayaran untuk pelaksanaan projek terowong dasar laut yang mana tidak tepat sama sekali,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Zhen Zune dalam kenyataan meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjelaskan status pembinaan terowong dasar laut kepada pengundi di negeri ini, malah turut mempersoalkan sama ada projek itu masih wujud atau tidak.
Menurut Vijay Pillay, menerusi penjelasan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, bayaran yang dibuat oleh kerajaan negeri secara ‘land swapping’ dahulunya bukan untuk projek terowong.
“Pembayaran yang dibuat menggunakan kaedah ‘land swapping’ hanya untuk ‘Feasibility Study and Detailed Design’ bagi tiga buah projek lebuh raya utama (Pakej 1, 2 dan 3).
”Malah, semasa sidang DUN Pulau Pinang Ke-15 baru-baru ini, Zairil turut memberikan penjelasan pelaksanaan projek terowong dasar laut adalah tertakluk kepada hasil Pelan Induk Pembesaran North Butterworth Container Terminal (NBCT) oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) yang bakal dimuktamadkan akhir tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sebagai seorang Jurucakap Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang, menjadi peranan dan tanggungjawab Zhen Zune untuk menyemak fakta supaya maklumat yang dikongsikan adalah sahih dan tidak terpesong.
“Sebagai ‘pesanan mesra’, janganlah kita mengeluarkan tohmahan-tohmahan palsu semata-mata untuk meraih populariti murahan.
“Adakah ini prinsip-prinsip yang diketengahkah oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia untuk melahirkan pemimpin-pemimpin muda,” katanya. – UTUSAN










