Angan-angan Pas bentuk kerajaan Sabah tidak realistik - DAPSY

Angan-angan Pas bentuk kerajaan Sabah tidak realistik – DAPSY

WOO KAH LEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan Pas yang mendakwa parti itu mampu membentuk kerajaan negeri Sabah sebagai angan-angan yang tidak berpijak pada realiti politik semasa negeri berkenaan.

Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong berkata, tidak ada mana-mana parti utama di Sabah yang berminat atau berani bekerjasama dengan Pas.

Menurutnya, pendekatan ekstrem parti itu dilihat mampu merosakkan kepelbagaian.

“Tiada sesiapapun daripada DAP yang berminat untuk membentuk kerajaan Sabah dengan Pas.

“Selain Bersatu dan Gerakan, saya tidak lihat mana-mana parti akan menubuhkan kerajaan negeri bersama Pas,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Pas dan Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan sedia bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali DAP bagi membentuk kerajaan negeri jika tiada pihak menang majoriti dalam PRN Sabah pada 29 November ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, landskap politik semasa menyukarkan mana-mana parti mencapai kemenangan tunggal, sekali gus menjadikan rundingan pasca-pilihan raya sebagai realiti yang perlu dipertimbangkan.

Beliau berkata, kepelbagaian merupakan teras penting kehidupan rakyat Sabah yang meraikan kemajmukan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa, namun perkara itu tidak dizahirkan oleh kepimpinan Pas masa kini.

“Adakah Pas meraikan kepelbagaian dan kemajmukan? Jawapannya negatif.

“Pimpinan Pas kini ditunjangi mereka yang pernah menghina rakyat Sabah dengan isu roti Gardenia, tetapi Pas masih bermimpi untuk menubuhkan kerajaan negeri,” katanya.

Woo berkata, Pas seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memenangi kerusi pertama di Sabah terlebih dahulu sebelum bercakap mengenai pembentukan kerajaan negeri.

“Nasihat saya kepada Pas, usahakan kerusi pertama di Sabah dahulu sebelum sembang kencang tanpa asas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN