Aidil bangkit ungguli 200m Terbuka Malaysia - Utusan Malaysia

Aidil bangkit ungguli 200m Terbuka Malaysia

PENGIRAN Aidil Auf Hajam (depan) mengatasi pelari dari Singapura untuk menggunguli acara 200 meter (m) lelaki dengan cacatan masa 21.42 saat (s) dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bintang muda kebangsaan, Pengiran Aidil Auf Hajam mengatasi pelari dari Singapura untuk menggunguli acara 200 meter (m) lelaki dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Tuanku Syed Putra, hari ini.

Atlet muda dari Sabah berusia 20 tahun itu merekodkan masa 21.42 saat (s).

Praharsh Ryan dari Singapura menduduki tempat kedua dengan catatan masa 21.57s manakala tempat ketiga diraih pelari Majlis Sukan Negeri Wilayah Persekutuan (MSNWP), Reeve Kua Man Hong dengan masa 21.88s.

Kejayaan itu sekali gus mengubati kegagalan terlepas podium dalam acara 100m semalam apabila sekadar berpuas hati di kedudukan keempat dengan catatan masa 10.48s.

Katanya, biarpun sedikit penat, namun dia sangat berpuas hati apabila dapat menamatkan larian dan meraih pingat emas bagi acara itu.

“Saya dapat habiskan larian 200 meter ini walaupun sedikit penat sebab semalam saya lari untuk acara 100 meter, dan hari ini juga ada tiga kali larian lain. Apa yang saya harapkan dari awal adalah untuk habiskan larian ini sahaja dengan baik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pengiran Aidil berkata, catatan masa terbaik yang direkodkannya bagi acara itu tahun ini adalah 21.21s.

Katanya, dia sememangnya meletakkan sasaran bagi acara itu namun perlu berdepan dengan kekangan jadual perlawanan tidak begitu teratur.

“Saya juga ingin fokus kerana esok juga masih ada baki satu lagi acara iaitu 4×100 meter lelaki,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN