PETALING JAYA: Masa depan sukan ski air berada di landasan terbaik kerana Malaysia kini bukan sekadar bergantung harap kepada Aaliyah Yoong Hanifah dan adik-adiknya, malah, permata baharu, Aydan Saisi turut harus diberi perhatian lebih-lebih lagi menjelang Sukan SEA di Thailand, hujung tahun ini.
Pada Kejohanan Ski Air dan Wake Malaysia 2025 yang berakhir, kelmarin di Kompleks Sukan Waterfront, Putrajaya, Aaliyah menyapu bersih pingat emas dalam kesemua empat acara iaitu slalom, tricks, lompat dan keseluruhan.
Dalam acara kegemarannya iaitu lompat ski, Aaliyah yang kini menghuni ranking No. 7 dunia itu mencatat jarak 42.6 meter, selain, mengumpul 7,320 mata dalam acara tricks.
Pencabar tunggal dari Indonesia, Ni Ika Dewi Ambarawati, 32, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam ketiga-tiga acara slalom, tricks dan lompat.
Aaliyah, 22, yang akan berlepas ke Recetto, Itali minggu ini untuk menyertai Kejohanan Dunia Terbuka Ski Air IWWF turut membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM4,000.
“Sepanjang kejohanan ini, saya seronok kerana ia menjadi medan persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Itali.
“Saya terpaksa berdepan cabaran sengit daripada Ika dan ia membantu persediaan saya secara keseluruhannya,” katanya yang meraih empat pingat emas dan tiga kali memecah rekod Asia dalam acara lompat pada Kejohanan Asia di Bangkok, bulan lalu.
Tumpuan juga terarah kepada bintang remaja negara, Aydan Saisi, 13, apabila muncul juara acara Wake Board bawah 14 tahun sekali gus mencipta rekod memenangi pingat emas buat kali ketiga berturut-turut sejak 2023.
Aydan mengutip 20 mata, meninggalkan lima peserta Indonesia, Alfarizi Nusantara (19.22 mata), Muhammad Syaiffulloh (16 mata), Ganendra Abimanyu (14.48 mat), Zingglang Wellanggika (14 mata) dan Muhamad Anwar (13 mata).
“Saya amat teruja bila ayah beritahu saya menang emas sekali lagi. Ini kali ketiga berturut-turut dan ia pencapaian besar untuk saya,” kata Aydan yang kini menjalani latihan cable wakeboard di bawah bimbingan juara dunia 13 kali, Julia Rick di Kemboja, selain berlatih di Phuket dan Bangkok.
Sementara itu, dalam kategori terbuka lelaki slalom dan tricks, dua adik Aaliyah turut menyerlah apabila Aiden meraih dua pingat emas, manakala, Adam membawa pulang satu perak serta gangsa.
Aiden, 20, turut mencipta rekod kebangsaan baharu dengan kutipan 6,830 mata dalam acara tricks dan pingat perak menjadi milik peserta Indonesia, Dimas Ridho Suprihono (4,920 mata), manakala, Adam sekadar gangsa (4,590 mata). – UTUSAN