JOHOR BAHRU: Seramai 23 daripada 24 Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) hari ini menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Bandar, Datuk Mustaffa Kamal Samsudin, sekali gus memboikot mesyuarat penuh MBPG yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Ketua WHIP Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd. Amin Ahmad berkata, tindakan itu dibuat sebagai tanda protes terhadap kegagalan Datuk Bandar menghormati dan mengiktiraf peranan Ahli Majlis dalam sistem semak dan imbang pentadbiran kerajaan tempatan.
“Kami tidak lagi yakin dengan kepimpinan Datuk Bandar yang seolah-olah menafikan peranan kami sebagai Ahli Majlis. Ia menyukarkan kami menjalankan tanggungjawab terhadap masyarakat di zon masing-masing,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohd. Amin, pelbagai usaha dilakukan untuk mengadakan rundingan secara tertutup dengan Datuk Bandar, namun ia tidak dilayan dengan baik. Malah, pelbagai alasan diberikan termasuk faktor kesihatan, sedangkan beliau masih dilihat mengikuti lawatan luar yang tiada kaitan langsung dengan tugas utama jawatannya.
“Tindakan beliau jelas memperlihatkan keengganan untuk berhadapan secara profesional dan berhemah. Akibat boikot ini, mesyuarat penuh gagal dijalankan dan segala usul serta dasar MBPG tidak dapat dibentang, dibahas atau diluluskan,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri campur tangan segera dan mengambil langkah pembaharuan dalam kepimpinan tertinggi MBPG.
“Kami mahu semangat kerja berpasukan diterapkan semula dan maruah institusi kerajaan tempatan ini dikembalikan ke tempat sewajarnya,” katanya. – UTUSAN








