PETALING JAYA: Beregu profesional Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi meneruskan rentak cemerlang apabila satu demi satu gandingan handalan dunia ditumbangkan dan hari ini, mereka membenam pasangan No. 6 dunia, Liang Wei Kang-Wang Chang pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun.
Menghuni ranking ke-30 dunia, Yew Sin-Ee Yi kembali mendapat sentuhan berbisa mereka apabila menewaskan pasangan China itu 25-23, 21-19 dalam masa 41 minit.
Esok, Yew Sin-Ee Yi sekali lagi bakal berdepan laluan getir menentang gandingan No. 3 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.
Won Ho-Seung Jae melangkah ke separuh akhir selepas mengalahkan satu lagi wakil Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-13, 18-21, 21-13 dalam masa 55 minit di peringkat lapan terbaik.
Pada pusingan pertama, Yew Sin-Ee Yi mengejutkan rakan senegara yang juga beregu No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan di suku akhir, Wei Keng-Wang Chang yang juga merupakan bekas beregu No. 1 dunia pula menjadi mangsa mereka.
Yew Sin yang baru sahaja mendaftarkan perkahwinannya bersama bekas perseorangan wanita Jepun, Aya Ohori kelihatan mempamerkan persembahan konsisten yang turut memberi impak positif kepada rakan gandingannya, Ee Yi.
Mungkin juga semangat pengantin baharu menjadi penyuntik semangat buat pemain kelahiran Melaka itu yang akan melangsungkan majlis perkahwinan pada Disember ini.
Yew Sin-Ee Yi yang pernah berada di ranking No. 6 dunia beraksi pada separuh akhir pertama mereka pada tahun ini. –UTUSAN