GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun kerugian RM680,781 selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai keselamatan siber dan polis.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa yang juga bekas pengurus bank memaklumkan telah menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil Cyber Security Putrajaya pada 12 Jun lalu.
Beliau berkata, mangsa telah diberitahu oleh suspek bahawa nombor telefon yang digunakannya telah disenaraihitam kerana terlibat dalam satu kegiatan penyebaran maklumat palsu.
“Panggilan telefon itu kemudian disambung pula kepada seorang individu lain yang mendakwa seorang pegawai polis di Balai Polis Alor Setar.
“Individu terbabit seterusnya memberitahu kononnya akaun bank mangsa digunakan untuk aktiviti pengubahan wang haram dan mangsa diarah membuka akaun baharu di CIMB dan BSN atas namanya sendiri bagi tujuan ‘membersihkan nama’ serta mengelak penahanan.
“Akibat terpedaya, mangsa telah membuka dua akaun bank seperti diarahkan dan melakukan empat transaksi pemindahan wang antara 19 hingga 23 Jun lalu berjumlah RM680,781 ke akaun tersebut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa turut diarahkan oleh suspek untuk menyerahkan semua kad ATM dan kad kredit termasuk slip pembukaan akaun, dengan memasukkan kesemuanya ke dalam satu sampul surat sebelum meninggalkannya di atas kotak pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran sebuah bank di Tanjong Bunga di sini.
“Pada 26 Jun, selepas membuat semakan ke atas ketiga-tiga akaun bank miliknya, mangsa mendapati semua wang telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga yang tidak dikenali, sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya yang memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN