Kekuatan PN bergantung kepada penyertaan MN - Utusan Malaysia

Kekuatan PN bergantung kepada penyertaan MN

doktor
AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehadiran Perikatan Nasional (PN) dalam politik negara tidak cukup tanpa penyertaan Muafakat Nasional (MN) bagi memastikan kekuatan gabungan politik Melayu-Islam terus diperkasa.

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, idea penyatuan PN dan MN menerima sokongan ramai dengan harapan ia dapat menyatukan ummah demi kepentingan Islam dan Melayu serta memelihara hak kaum minoriti.

“Tidak dinafikan, salah satu cara melemahkan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP ialah melalui penyatuan ummah.

“Sekarang, mereka kuat kerana Melayu Islam tidak bersatu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Afnan turut mendakwa bahawa pihak lawan akan berdepan ancaman kehilangan kuasa sekiranya berlaku penyatuan melalui PN dan MN.

Malah katanya, perkara itu disedari sepenuhnya oleh PH termasuk DAP yang mempunyai ‘think tank’ menjalankan kajian akademik dan juga kajian lapangan.

“PN saja tidak cukup. MN saja pun tidak gagah. Perlu kepada PN+MN. Sebab itu, sekarang ini semua mata tertumpu kepada PN,” katanya.

Dalam pada itu, Afnan turut mendakwa wujud naratif disusun media tertentu untuk memberikan persepsi buruk terhadap PN.

Bagaimanapun, beliau yakin PN bakal kembali lebih kuat dengan pembentukan kepimpinan baharu kelak dan penyatuan ummah yang diidamkan bakal terbentuk.

“Itulah kehendak politik Islam. Politik yang menyatukan, bukan memecahbelahkan. Syaratnya, buang agenda peribadi. Letak agenda ummah paling tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×