Hasnah dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian - Utusan Malaysia

Hasnah dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian

HASNAH MOHAMMED HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sembilan ahli dilantik Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang ditubuhkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 berkuat kuasa semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kepakaran merangkumi sektor awam, swasta dan masyarakat sivil itu dilantik bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028.

Katanya, bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik sebagai pengerusi manakala Datuk Lim Thean Shiang selaku timbalannya.

“Ahli jawatankuasa lain terdiri daripada Barhoum Abe Abed yang mewakili pemberi perkhidmatan aplikasi berlesen, Mohd. Kasyful Azim Ab Rahman sebagai wakil pemberi perkhidmatan rangkaian berlesen serta Dr. Ruzimi Mohamed selaku wakil golongan orang kurang upaya (OKU).

“Turut dilantik Datuk Zulkarnain Mohd. Yasin, Thiyagu Ganesan, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Wathshlah Naidu yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran berkaitan keselamatan dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata, jawatankuasa tersebut bukan sekadar memainkan peranan pentadbiran, sebaliknya melaksanakan fungsi substantif.

Katanya, ia merangkumi pemberian nasihat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung pengelasan kandungan memudaratkan serta kandungan utama (prioriti) seperti penganiayaan seksual kanak-kanak dan penipuan kewangan.

“Jawatankuasa itu turut bertanggungjawab menentukan kaedah analisis risiko dan strategi mitigasi bagi melindungi pengguna daripada kemudaratan dalam talian, menilai keberkesanan mekanisme aduan serta memantau penguatkuasaan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang.

“Mereka juga akan melaksanakan penyelidikan teknikal dan analisis pakar terhadap trend baharu jenayah siber termasuk penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan teknologi pemalsuan wajah (deepfake),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN