PONTIAN: Seorang akauntan wanita mengalami kerugian RM122,700 apabila terpedaya dengan panggilan seorang lelaki yang menyamar sebagai pekerja syarikat penghantaran barang.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa yang berusia 33 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada suspek yang memberitahu dia mempunyai bungkusan yang mengandungi buku dan token bank.
Walaupun mangsa menafikan tentang perkara tersebut, namun suspek mengarahkan mangsa membuat satu laporan polis.
“Panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada pegawai ‘polis’ yang kononnya bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis yang mendakwa nama mangsa tersenarai dalam senarai orang yang dikehendaki.
“Oleh kerana bimbang, mangsa terpedaya dengan kata-kata suspek dan telah membuat pindahan wang bermula 18 Jun hingga 11 Julai lalu sebanyak lapan kali ke dalam empat akaun berbeza yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammad Shofee berkata, wang yang dipindahkan berjumlah RM122,700 itu kononnya bagi membersihkan nama mangsa daripada senarai orang dikehendaki.
“Mangsa kemudian menyedari telah menjadi mangsa penipuan dan membuat laporan polis semalam,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.-UTUSAN










