PUTRAJAYA: Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan 2025 (UMRAN) hari ini merumuskan lima resolusi utama sebagai usaha menyatupadukan umat Islam dan memperkukuh kestabilan negara menerusi gagasan Malaysia Madani.
Program tiga hari berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini serta menghimpunkan seramai 106 institusi pondok dari seluruh negara itu menyatakan sokongan terhadap kerajaan yang didirikan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta menepati maqasid bernegara dalam Islam.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr. Hasan Bahrom berkata, muzakarah itu membuktikan kesepakatan ulama dan umara untuk terus berganding bahu dalam mempertahankan keharmonian serta memperkasa kefahaman Islam dalam kalangan rakyat.
“Kita sedar bahawa menjadi kewajipan sesama umat Islam untuk saling membantu dan menasihati dalam perkara kebaikan dan ketakwaan, demi menghindari kemungkaran serta perpecahan,” katanya.
Lima resolusi utama yang dicapai antaranya ialah menyuburkan pendekatan dakwah bil-ḥikmah dan memperkasa dialog sebagai wadah memupuk keharmonian sosial serta menjamin kedamaian sejagat.
Selain itu, mengekang sebarang usaha menggugat kestabilan kerajaan, keamanan dan perpaduan masyarakat yang boleh menjerumuskan negara ke kancah perpecahan.
Resolusi lain ialah memelihara kesucian Islam dengan memperkukuh kefahaman berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bersifat sederhana, bebas daripada ketaksuban dan kejumudan pemikiran.
Seterusnya ialah mengangkat ilmu dan perpaduan nasional melalui platform Halaqah Ilmu Madani sebagai medan dialog, pencerahan dan penyatuan ummah yang diselaraskan oleh Yadim dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Resolusi terakhir ialah memperkasa jaringan ilmu, dakwah dan pembangunan ummah menerusi penganjuran berkala UMRAN di peringkat pusat dan negeri.
Justeru, para ulama pondok menyeru seluruh umat Islam agar terus menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara serta tidak terpengaruh dengan sebarang anasir yang boleh merosakkan keharmonian yang telah sekian lama dibina. – UTUSAN










