UMNO harus berjuang umpama pasukan bola sepak - Johari

UMNO harus berjuang umpama pasukan bola sepak – Johari

JOHARI Abdul Ghani merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di Taman Seri Sulong, Batu Pahat, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Setiap bahagian UMNO umpama sebuah pasukan bola sepak dengan setiap pemimpin perlu memainkan peranan bagi memastikan kejayaan pada pilihan raya akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sekiranya parti hanya menumpukan pada kerusi-kerusi ‘panas’ atau calon popular tanpa pasukan yang lengkap di setiap DUN dan Parlimen, parti berisiko kecundang.

“Dalam padang bola, kita ada ‘striker, ‘midfielder’, ‘fullback’, ‘goalkeeper’. Kalau kita hanya ada ramai ‘striker’ atau penyerang siapa hendak bertahan bila diserang?

“Sama juga dengan kerusi DUN dan Parlimen, mesti ada pasukan lengkap, ada peranan masing-masing,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di Taman Seri Sulong, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Ketua Wanita UMNO Bahagian yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Johor menjadi contoh bagaimana penyusunan strategi kerusi DUN yang teratur mampu membawa kemenangan besar.

“Saya rasa Johor ada satu elemen sangat penting untuk UMNO. Kalau kita tengok masa PRN Johor pada Mac 2022, kita berjaya dapat 40 daripada 56 kerusi DUN, iaitu majoriti dua pertiga.

“Tetapi selepas itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada November tahun sama, daripada 26 kerusi Parlimen, kita hanya menang sembilan kerusi,” katanya.

Johari menegaskan, semangat berpasukan perlu menjadi tunjang bagi gerak kerja parti supaya kejayaan PRN Johor dapat diterjemahkan dengan peningkatan jumlah kerusi Parlimen pada masa depan.

“Contohnya, semangat berpasukan dalam pasukan bola, kalau hanya satu dua striker sahaja bekerja, dia tak boleh menang. Harapnya kita dapat tambah kerusi Parlimen lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN