EAST RUTHERFORD: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerima ejekan kuat daripada penonton ketika muncul di pentas final Piala Dunia Kelab FIFA 2025, awal pagi tadi.
Trump yang berpakaian kemas dengan tali leher merah tetap ceria dan turut melonjak bersama pemain Chelsea ketika mereka menjulang trofi kejohanan di Stadium MetLife.
Namun ketika beliau melangkah ke padang bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino untuk menyampaikan anugerah, ejekan jelas kedengaran sebelum muzik stadium dikuatkan untuk menenggelamkan reaksi tersebut.
“Saya rasa penyokong hari ini sangat hebat dan kami benar-benar menikmati perlawanan ini.
“Kami raikan bola sepak, kami raikan AS. Ianya adalah masa depan yang gemilang,” kata Trump.
Infantino pula memuji komitmen Trump terhadap bola sepak dan menyokong kejohanan berkenaan sejak ianya bermula bulan lalu.
“Beliau terus menyokong kejohanan ini sejak awal dan jelas beliau sukakan trofi itu.
“Beliau juga cerita kepada saya, anaknya Barron minat bola sepak dan bila anak minat, ayah pun akan ikut suka. Jadi saya yakin beliau cintakan sukan ini,” kata Infantino.
Walaupun menerima kritikan atas kenyataan kontroversi termasuk isu transgender dan dasar imigresen ketat, Trump tetap menggunakan pentas bola sepak sebagai lambang Zaman Keemasan AS. – AGENSI