PETALING JAYA: Bas yang terlibat dalam nahas meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Jun lalu didapati tidak dilengkapi sistem pemantauan kelajuan atau ciri keselamatan penumpang yang mencukupi meskipun memiliki dokumen sah.
Menurut laporan awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan (MOT), bas milik Kenari Utara Travel & Tours Sdn. Bhd. itu dikendalikan secara tidak sah oleh syarikat Noreen Maju Trading walaupun mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan sijil pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) yang sah.
Bagaimanapun, bas tersebut tidak dilengkapi sebarang sistem pemantauan kelajuan seperti GPS atau Peranti Had Kelajuan (SLD).
“Bas tersebut juga tidak dipasang perakam video atau kamera papan pemuka atau dashcam. Sebarang rakaman kemalangan hanya diperoleh daripada kenderaan awam lain yang tidak terlibat secara langsung,” katanya.
Sementara itu, pemeriksaan ke atas kenderaan mendapati tayar dan sistem brek berada dalam keadaan baik, namun satu unit ‘leaf spring’ patah dan satu penyerap hentak tercabut akibat impak kemalangan.
Lebih membimbangkan, laporan itu turut mendedahkan tiada tali pinggang keledar dipasang pada tempat duduk penumpang kecuali di tempat duduk pemandu sahaja.
“Beberapa tempat duduk penumpang juga dilaporkan rosak dan terkeluar dari kedudukan asal, manakala struktur bumbung bas tidak mampu menahan impak lateral daripada penghadang jalan.
“Kelemahan ini menunjukkan tahap perlindungan terhadap penumpang dalam insiden kemalangan amat rendah dan membahayakan keselamatan,” kata laporan itu lagi. – UTUSAN