Operasi ECRL kekal ikut jadual, dijangka mula Januari 2027

Operasi ECRL kekal ikut jadual, dijangka mula Januari 2027

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Operasi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor kekal mengikut jadual asal, iaitu pada Januari 2027.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penetapan tarikh tersebut mengambil kira keperluan penelitian rapi terhadap sistem rel yang melibatkan pelbagai komponen serta ujian integrasi sebelum ia boleh beroperasi sepenuhnya.

Katanya, projek rel bukan sekadar menyiapkan landasan semata-mata, sebaliknya memerlukan kesepadanan menyeluruh antara sistem operasi, perkakasan dan perisian.

“Kita perlu faham sistem kereta api ini bukan hanya melihat kepada landasan. Ia mesti melalui proses integrasi sistem terlebih dahulu.

“Setakat ini, pemeriksaan dan ujian sistem masih belum dimulakan. Dari sudut Kementerian Pengangkutan, kita kekal dengan sasaran operasi pada Januari tahun depan,” katanya ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini, mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang memaklumkan kemungkinan ECRL beroperasi lebih awal iaitu pada tahun ini.

Bagaimanapun Loke berkata, beliau tidak menyalahkan Menteri Besar Pahang berhubung kenyataan tersebut dan beranggapan ia mungkin berpunca daripada perbezaan maklumat yang diterima.

“Berdasarkan pengalaman Kementerian Pengangkutan, sistem rel merupakan antara yang paling mencabar. Cabarannya bukan sahaja dari segi infrastruktur, malah melibatkan perkakasan, perisian serta ujian sistem.

“Kita sudah berdepan pengalaman sebelum ini seperti Aerotrain dan LRT3 yang mengalami masalah sistem dan perisian. Sebab itu aspek ujian dan integrasi ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Pendekatan berhati-hati itu penting bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi ECRL apabila ia mula beroperasi kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×